Monday, July 19, 2010

Ada Apa Dengan Solat Berjemaah?





Orang muda selalu bercakap mengenai cinta. Ada apa dengan cinta? Cinta digambarkan sebagai perasaan yang membangkitkan semangat, lantaran bersatunya dua jiwa. Adapun kita bukan nak berbicara panjang tentang cinta orang muda. Namun, masih lagi berkait tentang cinta. Cinta yang lahir akibat mengikut petunjuk nabawi. Kemanisan yang dapat dikecapi dengan melazimi solat berjemaah.


Lazimnya, apabila solat jemaah dilakukan, bahu si kaya dan si miskin bersentuhan, lutut anak muda bergesel dengan lutut si tua, tapak kaki orang besar bertemu rakyat biasa, justeru membangkitkan ikatan cinta persaudaraan yang penuh rahmah dan berpanjangan. Sememangnya telah didoakan oleh para malaikat atas orang yang berniat melakukan solat berjemaah dengan rahmah dari Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya,

''Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat seorang lelaki dalam jamaah itu dilipat gandakan pahalanya melebihi solatnya di rumah secara bersendirian-munfarid-atau di pasarnya dengan dua puluh lima kali ganda'' (Muttafaqun 'Alaih).






Bila mana kita tinjau teori fizik, kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah yang lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Semakin segar setelah melakukan solat berjemaah adalah nikmat dan rahmat bagi yang percaya dan menyerah diri kepada Allah.


Justeru itu sahabat... Tidak pelikkah kalian dengan bilangan umat Islam yang ramai mencecah 6.5 billion, saudara Islam kita di Palestin masih dicabut maruah mereka, bumi kita Palestin dan negara-negara tinggalan empayar Islam satu ketika dahulu yang masih tidak dapat dikuasai kembali, ummat Islam yang dirampas hak mereka di Thailand, sistem Islam yang direndahkan di Turki, dan saudara Islam China yang dibunuh? Lalu tidak hairanlah masalah yang melanda ummat Islam pada hari ini sehingga tercabut kegerunan musuh Islam adalah kerana kita semakin jauh dengan unjuran nabawi - we have quantity but not quality. Sehingga akhirnya kita jauh dari rahmat, kasih sayang dan pertolongan Allah (nauzubillahiminzalik).


Oleh itu, sahabat yang dirahmati Allah sekalian, marilah kita sama-sama menghayati sekecil-kecil tuntutan nabawi ini, solat berjemaah agar Allah mengasihani kita. Di samping solat jemaah, berperananlah dengan mula memperbaiki diri dan keluarga dengan kefahaman Islam yang sahih dan murni menurut petunjuk nabawi agar kemanisan cinta sejati dapat kita kecapi!


Solat itu tiang agama,
Wajiblah kita menunaikannya,

Saat disoal di akhirat sana,

Solat itu yang utama.


Teruskan usaha mengenal pencipta,

Kemanisan iman nikmat tak terhingga,

Moga istiqamah setiap masa,

Kelak Allah beri balasannya.




Antara Akhlak dan Ilmu




Islam adalah agama yang amat menitik beratkan soal akhlak dan adab-adab bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat. Adab-adab yang diajar oleh Islam ini merangkumi segala aspek samada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Perutusan Rasulullah S.A.W. kepada manusia juga di antara lainnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik lagi terpuji kepada seluruh alam.

"Adab tulus tanpa ilmu adalah lemah dan tak berguna,
ilmu tanpa adab tulus adalah membahayakan"


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (manusia)."
(Riwayat Baihaqi).

Amat malang sekali apa yang berlaku pada dewasa ini, sebilangan umat Islam meninggalkan dan tidak mengambil berat adab-adab Islam lantas berlakulah perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam. Bahkan ada sebilangan umat Islam yang sengaja menolak dan tidak mahu langsung mengambil manfaat daripadanya sedangkan mereka ini daripada kalangan orang-orang yang mengetahui. Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka juga melarang orang lain daripada melakukan dan beramal dengan adab-adab Islam sedangkan mereka juga mengetahui kelebihan dan kebaikannya.

Sebilangan daripada Salaf berkata:

"Dengan mempelajari satu bab daripada adab (akhlak) lebih disukai di sisiku daripada mempelajari tujuh puluh bab daripada bab-bab ilmu."
(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. melalui lidah-lidah para ulama. Adab-adab tersebut untuk memastikan agar kehidupan manusia berada di dalam keadaan aman dan harmoni. Semua adab adalah untuk mencantikkan segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Setiap amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang indah. Berikut adalah antara kata-kata ulama yang boleh kita jadikan panduan :

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah:

"Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan." (Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi:

"Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu."
(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Imam Nawawi:

"Imam Shafie berkata: Sesiapa yang ingin dibukakan hatinya oleh Allah Taala maka hendaklah ia berkhalwat, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang bodoh dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan orang yang berilmu."
(Kitab: al-Majmuk Syarah Muhazzab).

Berkata Habib bin as-Syahid kepada anaknya:

"Wahai anakku, berkawanlah engkau dengan fukaha (orang alim), pelajarilah daripada mereka dan ambillah adab-adab yang baik daripada mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih disukai di sisiku daripada banyak mempelajari hadis."
(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Saidina Ali:

"Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan."
(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Salah seorang hukamak berkata:

"Tiada kemuliaan bersama buruknya adab."
(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).



Apabila kita membicarakan perihal adab-adab dan akhlak, maka persoalan ini sudah pastilah mempunyai kaitan khusus dengan perbincangan ilmu Tasawuf. Ilmu Tasawuf pula adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam selain daripada ilmu Akidah dan Fiqh. Tidak lengkap rasanya jika perbahasan hukum-hakam tidak diselitkan bersama dengan unsur-unsur ilmu Tasawuf. Ini kerana ilmu Tasawuf bertindak menjaga kesucian dan ketenangan hati dan kemudian diterjemahkan melalui perbuatan zahir yang diambil kira berdasarkan ilmu Fiqh. Barangsiapa yang hanya mempelajari ilmu Fiqh dan Akidah tanpa mempelajari dan menghayati ilmu Tasawuf maka sesungguhnya mereka sengaja menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Berkata Imam Junaid:

"Tasawuf adalah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi dikeji."
(Kitab: al-Nusrah al-Nabawiyyah).

Wallahualam.

Ukuran Cintamu






Umat mengaku beriman perlu bersabar atasi cabaran ditentukan dalam kehidupan.

CINTA adalah penawar. Barang siapa yang hatinya kosong tanpa cinta, nescaya pelbagai penyakit akan bersarang di dalamnya. Cinta adalah kehidupan, kerana hidup seseorang anak manusia bermula daripadanya.

Manusia memerlukan cinta untuk tetap bertahan. Manakala, jiwa yang kekeringan cinta bagaikan tercabut roh daripada jasadnya. Berjalan tanpa perasaan, berfikir tanpa keindahan, bosan dan hampa.

Dijadikan indah pada pandangan manusia rasa cinta yang boleh memuaskan nafsu dan syahwatnya. Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia. Cinta perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan.

Apakah ubat bagi orang yang tertekan, putus asa dan rasa dirinya tidak berguna? Jika kita tersungkur angkara musibah, siapakah yang patut dicari?

Di manakah ketenangan diperoleh? Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya. Jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala, yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.

Mengapa hati rasa sempit, dada rasa sesak, segenap jasad tak mampu menahan beban berat jika rahmat Allah Taala itu lenyap?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang.
Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang.
Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya.
Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh sembilan rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Betapa berharganya nilai setitis rahmat. Keamanan dan kedamaian menjelma di serata dunia.

Bagaimanakah dalaman rumah kita? Apakah rahmat Allah turun ke atasnya? Rahmat yang mencelupkan dua jiwa suami dan isteri pasti akan melahirkan anak yang salih. Rahmat yang hidup di hati seorang ayah akan menjadikannya mampu mendidik ahli keluarga dengan iman. Rahmat yang menitis di jiwa seorang ibu akan menjadikannya rela mengorbankan jiwa raganya untuk kebahagiaan keluarga. Akhirnya kita semua perlu menyedari bahawa kebencian dan suasana huru-hara yang berlaku berpunca daripada jiwa orang yang kekeringan rahmat Allah Taala.

Mungkinkah kita mendapat rahmat Allah jika kita tidak berusaha mengenal-Nya? Tak kenal maka tak cinta. Suatu ungkapan yang mudah untuk difahami. Namun, amat berat diamalkan. Mengenali Allah sebagai Penguasa ke atas diri kita. Yang menggenggam ubun-ubun makhluk-Nya dengan mudah dan akan menyentapnya apabila Dia berkehendak. Mengenal Allah dengan hati dan akal. Meneliti dan mencari penyebab kenapa Dia Yang Maha Pencinta layak untuk dicintai?

Allah Taala yang mengatur hidup kita, melimpahi hari yang kita lalui dengan nikmat-Nya. Semuanya itu tidak mampu disenaraikan kerana terlalu berharga. Tidak sesiapapun mampu membeli kebahagiaan jika Allah tidak mahu mengurniakan untuknya. Bagaimana hendak membayar nikmat kesihatan jika Allah tidak sudi menyembuhkan? Mungkinkah cita-cita dan impian akan tergenggam apabila Dia Yang Maha Mencipta berkehendak lain daripada apa yang kita inginkan. Diri kita tak penting bagi-Nya, ada dan tiadanya kita tidak mengurangi kebesaran-Nya. Dialah Allah yang kita kenali melalui bekas-bekas nikmat-Nya yang ada pada diri kita.

Perkenalan ini membuahkan cinta yang amat mendalam dan begitu hebat menguasai hati kita, seperti firman-Nya bermaksud:

“Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat cintanya kepada Allah.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 165)

Jika cinta sudah dimiliki, sudah semestinya dia sanggup diuji. Dengan hati dan akal, kita belajar mengatasi ujian cinta Ilahi. Ia menjadi ketentuan yang wajib dijalani bagi hamba-Nya yang mengaku beriman, kerana mungkin cintanya itu sekadar berpura-pura.

Semakin berat ujian yang diterima maka semakin tinggi tahap kecintaannya kepada Allah. Sabda Baginda SAW bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai hamba-Nya maka Dia mengujinya.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ibnu Al-Qayyim mengatakan:

“Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji hamba-Nya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan, tiada lain ia bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan, sehingga perjuangannya itu akan melahirkan cinta kepada Allah.”

Maka terjawablah persoalan kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat daripada kedudukan malaikat. Malaikat Allah tidak diuji seperti manusia diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.

Cinta kepada Allah Taala juga boleh dicari dalam ikatan ukhuwah sesama manusia. Seperti firman Allah Taala bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka kelak Allah Taala akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin.”
(Surah Al-Maidah, ayat 54)

Rasulullah SAW juga menyeru umatnya untuk saling mencintai dalam sabdanya bermaksud:

“Tidaklah sekali-kali dua orang lelaki saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling kuat kecintaannya kepada saudaranya.”
(Hadis riwayat al-Tabrani)


Sabda Baginda lagi bermaksud:

“Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Antara perkara paling berharga dalam kehidupan ini adalah persahabatan yang ikhlas. Ia tidak mudah untuk dimiliki melainkan oleh mereka yang ikhlas mahu mewujudkannya. Jika Allah mencantumkan hati manusia tiada siapa boleh menghalangi mereka mengecapi nikmat persahabatan itu.

Antara akhlak persahabatan yang paling rendah ialah sedia memaafkan saudara kita, manakala yang tertinggi pula, menolong sepenuh hati jika dia memerlukan kita untuk berada di sisinya. Sahabat yang terbaik adalah mereka yang bersungguh-sungguh mengajak kita mengecapi kasih sayang hingga ke akhirat. Sahabat di dunia dan akhirat menjadi slogan yang indah dan tak terlupa. Hanya dengan ikatan itu kita mampu mengecapi rahmat Allah bersama saudara seiman.



INTI PATI

* Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia yang perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan.

* Kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat daripada kedudukan malaikat kerana malaikat tidak diuji seperti manusia diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.

* Rahmat yang dikurniakan Allah mampu menjadikan kehidupan aman damai serta saling berkasih sayang sesama makhluk.

* Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya, jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.

Kesukaran VS Kemudahan

Kesukaran VS Kemudahan



Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menyemak Tafsir Jalalain (karangan Imam Jalaluddin Al-Mahalliy dan Imam Jalaluddin As-Suyuthi). Surah yang dibaca ialah Surah Al-Insyirah. Mungkin ada di antara kita yang selalu membacanya dalam solat atau surah ini menjadi antara surah yang dihafal. Di sini saya sertakan maksud ayat-ayat dari surah ini:

1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?

2) dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -

3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

4) dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

5) oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

6) (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

7) kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

8) dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).







Di sini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk kita sama-sama meneliti surah ini. Pertama sekali saya mulakan dengan asbabul nuzul (sebab turun ayat) surah ini. Ibnu Abbas RA telah menceritakan bahawa ayat ini diturunkan ketika orang-orang musyrik mencela orang-orang muslim kerana kemiskinan mereka. Imam Ibnu Jarir telah mengetengahkan sebuah hadis melalui Al-Hasan yang telah menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya:

Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan
(ayat ke-6)




Lalu Nabi SAW bersabda:

“Bergembiralah (hai orang-orang mukmin) kelak datang kemudahan bagi kalian, kerana satu kesulitan sekali-kali tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan”.





Daripada ayat dan tafsir di atas, dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran iaitu:

1) Allah itu Maha Adil, tidak sesekali Dia meletakkan sesuatu ujian di luar kemampuan makhluknya, seperti mana dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah (2:286). Ayat ini disokong dengan ayat keenam Surah Al-Insyirah di mana kesusahan akan disertai kemudahan.

2) Allah mengajar makhluknya bersabar dan yang paling penting percaya dengan janji Allah. Cuba sahabat bayangkan, andai kata kita tidak yakin bahawa kemudahan pasti datang selepas kesusahan pasti kita akan cepat melenting dan bertindak di luar batasan apabila kita diuji dengan ujian yang berat. Maka, dengan adanya janji Allah ini kita mampu membentuk diri menjadi insan yang redha dengan ujian yang menimpa.

3) Ayat ketujuh surah ini mengajar kita untuk bersifat sistematik. Subhanallah, betapa Islam itu agama yang memberi panduan untuk penganutnya bukan hanya perintah untuk melakukan ibadah semata-mata. Ini menunjukkan betapa syumulnya (sempurna) Islam. Ilmu pengurusan yang boleh dipelajari dari ayat ini ialah; kita perlu menyenaraikan kerja kita dan melaksanakannya mengikut keutamaan. Apabila selesai satu kerja, barulah kita melakukan kerja yang seterusnya.

4) Allah menyeru kita bersungguh dalam melakukan amal soleh. Ya, bersungguh-sungguh. Inilah masanya untuk kita bermuhasabah. Saya mengingatkan diri sendiri juga untuk turut mengubah diri supaya lebih bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Kadangkala memang kita sudah siapkan sesuatu kerja, tapi adakah cukup usaha yang kita curahkan? Betulkah cara kita menyiapkan kerja? Adakah unsur leka dan lalai di dalamnya? Sama-samalah kita renungkan...

5) Akhir sekali ayat ini menyeru agar kita memohon kepada Allah untuk mendapatkan perkara yang kita inginkan. Satu perkara yang saya terfikir; kaitan antara ayat 7 dan 8. Kaitan antara usaha yang bersungguh-sungguh dengan amalan berdoa. Ini menunjukkan bahawa tiada jalan pintas untuk kejayaan, ia perlu dirintis dengan usaha yang mantap dan akhirnya barulah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya.



Moga perkongsian berkenaan Surah Al-Insyirah dapat menjadi penyuntik semangat kita untuk terus berusaha serta yakin dengan ketentuan Allah tentang janji kesenangan selepas kesusahan. Sama-samalah kita meletakkan keutamaan dalam setiap pekerjaan kita dan akhirnya letaklah pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.


Sekadar perkongsian untuk mengingatkan diri yang masih dan terus berada dalam proses pembelajaran.


Wallahua’lam.

Wahai Puteriku







Bicara hati seorang ayah ;

Puteriku...

Adalah benar bahawa lelakilah yang memulakan langkah pertama menuju ke lorong dosa, tetapi apabila engkau tidak setuju maka lelaki itu tidak akan berani. Lantaran lemah gemalaimu, lelaki akan bertambah parah.

Wanitalah yang membuka pintu, seolah-olah engkau katakan kepada si pencuri itu;

" Silakan masuk, silakan... "

Apabila pencuri telah mencuri, engkau berteriak ;

" Pencuri! Tolong..tolong..! Saya dicuri! "

Sesungguhnya di dalam khayalan seorang pemuda, dia tidak melihat wanita itu semata-mata kecuali wanita itu ditelanjangi pakaiannya. Oleh itu, janganlah engkau mudah mempercayai perkara yang dikatakan oleh lelaki kerana kebanyakan mereka tidak akan melihat wanita semata-mata kecuali akhlak dan budi bahasanya.

Dia akan berbicara kepadamu sebagai seorang sahabat namun sesungguhnya dia telah berbohong. Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu, kehalusan budi bahasa dan perhatiannya, semua itu hanyalah merupakan perangkap rayuan.

" Setelah itu apa yang terjadi? "

Kalian berdua sesat di dalam kenikmatan, kemudian engkau ditinggalkan dan selepas itu akan merasai penderitaan akibat kenikmatan itu buat selamanya. Si lelaki akan mencari mangsa yang lain untuk diterkam kehormatannya, dan engkaulah yang menanggung beban kehamilan. Jiwamu menangis, hidupmu diselubungi kehinaan dan keaiban, masyarakat tidak akan mengampunimu.

Puteriku...

Cita-cita wanita yang tertinggi ialah perkahwinan. Setinggi manapun status sosial, kejayaan, kerjaya, kemahsyuran, prestasinya, namun perkara yang paling agung dan sangat diinginkannya ialah menjadi isteri dan ibu yang baik kepada sebuah rumah tangga yang bahagia.

Tidak ada seorang lelaki yang mahu menikahi pelacur, sekalipun dia ialah lelaki 'berhidung belang' . Apabila ingin berkahwin dia akan tetap memilih wanita yang baik, kerana dia tidak rela wanita yang tidak baik menjadi suri hidupnya dan ibu kepada putera dan puterinya.

Puteriku...

Puteriku yang beriman dan beragama! Puteriku yang terhormat dan terpelihara, ketahuilah bahawa yang menjadi korban ialah dirimu. Oleh itu, jangan memberi diri kalian semudah itu. Sesungguhnya kemuliaan yang tercela tidak akan kembali, martabat yang hilang tidak akan dapat ditemui semula.

Inilah nasihatku buatmu puteriku. Inilah kebenaran dan sedarilah bahawa di tanganmu terdapat kunci pintu ke arah kebaikan. Apabila diri kalian diperbaiki, maka umat juga akan menjadi baik. Kehormatanmu terletak di tanganmu. Keruntuhan akhlakmu juga di tanganmu.

Sunday, July 18, 2010

Sifat-sifat Pendakwah






Dakwah Islamiah pada mulanya adalah merupakan tugas para Rasul yang kemudiannya dilaksanakan oleh Alim Ulama'. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa kebahagiaan setiap umat sedikit sebanyak bergantung pada Alim Ulama'. Apabila mereka baik, maka baiklah manusia dan apabila mereka rosak nescaya rosaklah manusia. Ini bererti tanggungjawab Alim Ulama' amatlah besar, dan tugas mereka itu amatlah berat, lebih-lebih lagi kalau mereka menjadikan dakwah (tabligh) sebagai tugas khusus mereka. Pendakwah mesti ada mempunyai sifat-sifat di antara lain seperti berikut :

1. Memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis.

2. Beramal dengan ilmunya.

3. Tahan marah (berlapang dada)

4. Berani, tidak takut kepada sesiapapun dalam menerangkan kebenaran. Celaan manusia tidak akan menghalangnya daripada menjalankan kewajipan.

5. Menjaga diri, tidak mahu kepada harta kepunyaan orang.

6. Berpada-pada dengan kesenangan dunia dan redha dengan harta yang halal walaupun sedikit.

7. Kuat, sihat dan fasih lidah.

8. Mengetahui perkara-perkara di bawah ini :

(a) Hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah, persekitaran dan sosialnya.

(b) ilmu sejarah umum.

(C) Ilmu Psikologi.

(d) Ilmu Geografi.

(e) Ilmu Akhlak

(f) Mazhab-mazhab, aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah.

(g) Bahasa orang yang menerima dakwah.

(h) Ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.

9. Amat mempercayai kepada janji-janji Allah dan mempunyai harapan penuh untuk mendapat kejayaan biar pun usaha dakwah itu memerlukan usia yang lama dan memerlukan pengorbanan yang besar.

10.Tawadu' (merendah diri) dan menjauhkan diri daripada perkara
yang aib.

11.Tidak bakhil mengajarkan apa-apa ilmu yang diketahuinya. Tidak keberatan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada orang lain.

12. Bersifat wakar dan tenang.

13.Tinggi hemat dan mulia diri. Tidak berpuashati dengan perkara-perkara besar yang belum sampai kepada kesempurnaannya dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara hina dan marah ketika disedari dirinya serba kekurangan pengetahuan atau bukti.

14. Sabar ketika menjalankan dakwah kerana Allah.

15. Bersikap Taqwa dan Amanah.

BERSIFAT WAKAR DAN AMANAH

Sifat wakar ada pada ;

(a) Orang yang tidak bercakap sesuatu yang sia-sia, sekiranya perlu bercakap dia akan hanya bercakap sekadar yang perlu sahaja.

(b) Orang yang menggunakan gerak-geri bagi menyatakan sesuatu maksud.

(c) Orang yang sedia mendengar segala pertanyaan dan berhati-hati ketika menjawab.

(d) Orang yang tidak gopoh dalam segala perkara.


Di samping itu sifat wakar ini juga dapat menggambarkan ciri-ciri ;

(a) Memelihara diri daripada senda-gurau yang tidak sopan.

(b) Tidak bergaul dengan orang yang suka bergurau dan menghindari majlis mereka.

(c) Menahan lidah daripada menyebut perkataan yang buruk.

(d) Tidak menunjuk-nunjuk diri tanpa sebab yang munasabah seperti duduk di jalan atau di pasar.

Sifat-sifat yang ditonjolkan begini menarik minat orang ramai kerana keperibadian dan akhlak serta kemuliaannya.

MAD'U CARI DA'IE ATAU SEBALIKNYA






Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu yang saya rasa ada rasionalnya jika dikongsikan dengan sahabat bagi sama-sama kita lihat konteks situasi sekarang ini.

Setelah secara zahirnya kita ditiupkan roh oleh Allah utk hidup dimuka bumi ini. Kita sebagai manusia mempunyai suatu sifat yang kuat dalam diri kita iaitu sifat ingin tahu. Sifat ingin tahu inilah juga boleh dikatakan sebagai ilmu pengetahuan. Pada umur awalnya kita disuap dengan pelbagai ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan juga suapan dari masyarakat disekeliling kita.Sebabnya, banyak sekali sisi-sisi kehidupan yang menjadi pertanyaan dalam diri kita.

Namun disini bukanlah ingin membicarakan mengenai ilmu, tetapi apa yang saya ingin ketengahkan ialah konteks isu semasa yang saya perhatikan dari kaca mata sendiri. Untuk lebih jelas, saya sebenarnya ingin membicarakan mengenai suatu situasi dimana guru ( duat ) mencari pelajar ( mad'u ) atau sepatutnya pelajar ( mad'u ) mencari guru ( duat ). Guru ( Duat ) Mencari Pelajar ( Mad'u ) Dalam konteks yang bagaimana duat perlu mencari mad'u nya?

Persoalan ini ingin saya lontarkan kepada kepemimpinan masyarakat mahupun masyarakat yang saya kategorikan sebagai faham. Bagi saya sebagai masyarakat yang sedar, faham dan mempunyai ilmu atau juga seorang da'ie, mereka perlu sedar bahawa dibahu mereka sebenarnya tertanggung satu beban. beban yang diamanahkan dan diberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan tugas untuk menyeru manusia kepada Allah (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa.

Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jika Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan.

Menyeru manusia kepada Allah adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan).



Melalui pemerhatian saya terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, adalah kerana tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan masyarakat berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari ataupun tidak.

Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang soleh.

Mungkin apa yang saya perkatakan diatas merupakan suatu konteks yang besar iaitu masyarakat, baik, kita perkecilkan kepada suasana kampus. Sebagai da'ie, perkara yang sama juga kita perlu lakukan bagi menarik lebih ramai mad'u untuk diberi kefahaman. Saya bercakap berdasarkan pemerhatian bahawa perlu ada tindakan dari dai'e tuk mencari mad'u kerana kebanyakkan mad'u yang baru ini sebenarnya sedang mencari identiti mereka yang sebenar.

Masa yang paling ideal untuk para da'ie bertindak ialah ketika semester pertama lagi. Ini merupakan masa yang paling sesuai bagi memandu mad'u yang baru memahami perjuangan seorang mahasiswa dikampus, bukan hanya sebagai pelajar, menduduki peperiksaan atau ujian, akan tetapi juga sebagai mahasiswa yang bersama dalam perjuangan Islam.

Pelajar ( Mad'u ) Mencari Guru ( Da'ie ). Namun begitu, mad'u sebenarnya tidak terlepas begitu sahaja. Sebelum itu, setuju atau tidak jika sayaa katakan bahawa da'ie juga mad'u dan mad'u juga da'ie? Saya katakan demikian berdasarkan hadis dari nabi dimana : "Sampaikanlah dariku walau satu ayat"

Maknanya disini, mad'u yang menerima suatu ilmu agama juga perlu menyampaikan apa yang dia pelajari. Maka disini mad'u tadi juga orang yang menyeru ataupun da'ie. Jadi setelah apa yang si mad'u itu peroleh, seharusnya dia perlu mencari kebenarannya. Melalui siapa? Tentulah melalui seoarang da'ie. Mad'u yang cintakan ilmu dan faham apa yang disampaikan dai'e ditambah pula dengan rahmat Allah, insyaAllah akan terus mencari, memperbaiki dan mengubah hidupnya supaya diredhai Allah.

Kesimpulan Jadi disini jelas bahawa kedua-dua situasi ini perlu ada dalam suasana atau waqi' sebagai seorang dai'e mahupun mad'u, mad'u perlu mencari seorang dai'e dan dai'e juga perlu mencari mad'u. Ini kerana, kedua-duanya saling memerlukan bagi menghasilkan sebuah masyarakat yang faham, beramal dan berjuang untuk Islam keseluruhannya. Wallahu a'lam.

Thursday, July 15, 2010

Syaaban: Ada Apakah Padanya?

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

01. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.

02. Keperkasaan dan ketinggian.

03. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.

04. Kasih-sayang dan kemesraan.

05. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.


ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN

01. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam.

Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

02. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

03. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.


ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN

Memperbanyakkan puasa sunat.

Saidatina Aisyah berkata:

Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidatina Aisyah berkata:

Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Melazimi Berzikir dan Berdoa

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.

(Riwayat Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Doa merupakan otak kepada ibadat.

(Riwayat at-Tarmizi).

Saidatina Aisyah berkata:

Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.

(Riwayat Muslim).

Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.

(Surah an-Nur: ayat 31).



KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

Adapun antara kelebihan malam Nisfu Syaaban itu ada disebutkan di dalam beberapa hadis. Di malam Nisfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.

(Riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.

(Riwayat Baihaqi).

Berkata Imam Shafie:

Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Berkata Imam Ghazali:

Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaban.


MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN

Para tabiin ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabiin dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.

Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabiiin itu dan dilakukan juga oleh para ulama.


PENUTUP

Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Tulisan ringkas ini adalah sekadar untuk mengingatkan mana-mana yang terleka dan alpa dalam menjalani hidup ini sebagai hamba Allah Taala yang amat kerdil lagi hina. Saya juga tidak bercadang untuk memanjangkan tulisan ini dengan perbincangan berbentuk khilaf yang boleh memeningkan kepala masyarakat. Semoga kita semua berada di dalam redha Allah Taala setiap masa. InsyaAllah.

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahaulam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...