Monday, April 19, 2010

Sistem Ekonomi Islam dan Sistem Ekonomi Konvensional: Satu Perbandingan



perbezaan asas antara sistem ekonomi Islam dan sistem ekonomi konvensional terutamanya dari segi sumber, matlamat dan aktiviti. Perbezaan asas ini telah membawa implikasi yang besar terhadap masyarakat dan negara.

Berdasarkan takrif ini bolehlah dikatakan bahawa konvensional adalah suatu perkara yang sudah diterima pakai dan dipraktikkan di dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu apabila dihubungkan dengan ekonomi, maka sistem ekonomi konvensional bolehlah dikatakan sebagai suatu sistem ekonomi yang sudah dipraktikkan secara meluas di dalam sesebuah masyarakat.

Berdasarkan maksud ini ianya bolehlah dikatakan sebagai suatu sistem yang ditentukan oleh manusia di dalam sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai piawai yang mutlak tetapi bersifat anjal dan boleh berubah mengikut ketentuan masyarakat. Disebabkan ianya merupakan sistem manusia yang tidak tetap maka sudah tentulah ianya berbeza dengan Islam yang mempunyai piawai yang tetap iaitu bersumberkan wahyu di dalam kesemua bidang termasuklah ekonomi.


Di dalam sejarah dunia, terdapat beberapa sistem ekonomi konvensional yang begitu berpengaruh antaranya:

Kapitalisme

Sistem ini dikenali sebagai sistem perusahaan bebas. Di bawah sistem ini seseorang individu berhak menggunakan dan mengawal barang-barang ekonomi yang diperolehinya. Mencegah orang lain dari menggunakan barang-barang itu dan memutuskan bagaimana barang-barang itu diuruskan setelah dia mati.

Dalam hal ini individu bebas berbuat apa sahaja dengan harta kekayaannya asal sahaja kegiatannya tidak mengganggu hak orang lain. Oleh kerana hak-hak memiliki harta dibenarkan oleh masyarakat, keseluruhannya hak-hak ini boleh dibatasi melalui tindakan masyarakat.

Persaingan dianggap sebagai daya penggerak untuk menghasilkan operasi yang cekap. Pada umumnya persaingan dalam sistem kapitalis ini merupakan daya yang kuat dan dibenarkan berjalan lebih bebas berbanding dengan sistem-sistem ekonomi yang lain.

Sifat-sifat istimewa sistem ini ialah:

1.Ia menolak nilai-nilai akidah, syariat dan akhlak yang mulia

2.Pengambilan riba iaitu peminjaman wang melalui institusi kewangan (bank dan industri kredit) yang mengenakan riba (faedah)

3.Faktor-faktor ekonomi dikuasai oleh individu-individu tertentu secara terus menerus atau dipunyai oleh sekumpulan manusia yang tidak dikenali melalui sistem saham

4.Pemodal-pemodal bank yang besar mempunyai kuasa yang berlebihan ke atas aktiviti-aktiviti ekonomi dan seterusnya politik negara. Kuasa penentu dalam sistem kapitalisme dan demokrasi barat kebanyakannya mirip kepada pemilik modal

5.Sebahagian besar dari barang-barang dan perkhidmatan yang dihasilkan di bawah sistem kapitalisme telah dibebankan bukan sahaja dengan faedah-faedah riba, tetapi juga dengan bayaran-bayaran pengiklanan yang berlebihan

6.Kapitalisme mempunyai unsur-unsur mengasas monopoli, kerana adalah menjadi hasrat setiap pemodal untuk menguasai segalanya dan menghapuskan semua persaingan dengannya

Sosialisme

Kegelojohan dan ketamakan kapitalis yang luar biasa itu menghasilkan kezaliman ke atas masyarakat. Kezaliman ini melahirkan ketegangan yang meluas di Barat. Kelahiran sosialisme mula mendapat sambutan dan begitu laris. Prinsip sosialisme adalah:

1.Mengembalikan kuasa ekonomi daripada golongan Borjuis (kapitalis) kepada golongan proliter (petani dan buruh)

2.Menyerahkan semua sumber alam dan sumber ekonomi kepada negara untuk diagihkan sama rata kepada rakyat

Di bawah sistem sosialisme, hakmilik kerajaan ke atas sumber dihadkan kepada tanah dan modal yang digunakan secara besar-besaran. Industri-industri besar dimiliki dan dikawal oleh negara manakala kebanyakan perniagaan kecil dimiliki oelh individu.

Secara umumnya, individu dalam sebuah negara sosialis memiliki dan menguasai lebih banyak harta berbanding dengan individu di bawah sistem komunisme tetapi sangat kurang berbanding dengan milik individu di bawah sistem kapitalisme.

Oleh kerana di bawah sistem sosialisme banyak industri dimiliki dan dijalankan oleh negara, maka kebebasan menjalankan aktiviti hanya terdapat dalam kerja-kerja yang dijalankan oleh persendirian. Para pekerja masih bebas memiliki pekerjaan, namun begitu peluang untuk menjadi ahli perniagaan dan mencari keuntungan sangat kecil berbanding dengan sistem kapitalisme.


Komunisme

Sosialisme berjuang untuk mengembalikan kuasa ekonomi kepada golongan proliter secara demokrasi dan sederhana. Walau bagaimanapun sehingga menjelang perang Dunia Ke-2 (1940-1945) ia kurang berkesan mencapai matlamatnya. Pendekatan baharu menggunakan kekerasan dicadangkan iaitu dikenali sebagai komunisme. Ianya mendapat sambutan di Barat sesudah kegagalan sosialisme dalam revolusi Perancis, yang bermotokan persamaan (equality), kemerdekaan (liberty) dan persaudaraan (fretinity).

Sistem komunis merupakan satu sistem ekonomi sosialis yang radikal dan satu doktrin politik yang diasaskan oleh Karl Marx. Menerusi sistem ini, semua tanah dan modal sama ada yang asli atau buatan manusia, berada di tangan negara sepenuhnya. Rakyat akan menerima pendapatan menurut keperluan mereka, bukan mengikut kebolehan mereka.

Sebenarnya tidak ada perbezaan pokok antara fahaman sosialis dengan komunisme. Guru bagi kedua fahaman tersebut adalah Karl Marx. Tujuan utama penganjur sosialisme ialah untuk menegakkan kerajaan dictator oleh sosialis: Karl Marx mengarahkan agar semua komunis mestilah bekerja untuk mengasaskan fahaman sosialisme.

Oleh itu penganjur komunis Rusia telah menamakan negara mereka ‘Union of Soviet sosialist Republic’ bukannya ‘Union of Soviet Communist Republic’. Dalam ‘The Communist Manifesto’ Karl Marx menyatakan bahawa revolusi proletariat akan mengasaskan pemerintahan dictator pekerja-pekerja sosialis. Untuk itu tiga perkara diperlukan:

1.Menghapuskan semua hak milik persendirian

2.Menghapuskan unit keluarga

3.Menghapuskan segala agama


Ekonomi Campuran

Di samping itu ada juga sistem ‘klon’ yang lahir dari sistem-sistem tersebut yang disebut sebagai ekonomi campuran. Sebenarnya sistem ekonomi konvensional tidak ada sebarang sistem ekonomi yang tulen. Dalam sistem komunis ada juga cirri-ciri kapitalis.

Di Rusia para petani dibenarkan bercucuk tanam di atas tanah mereka di halaman rumah dan memiliki hasilnya. Mereka juga dibenarkan memiliki beberpaa ekor ternakan seperti ayam, babi dan biri-biri. Setengah-setengah negara seperti di Afrika dan Timur Tengah membentuk sistem campuran bebas dan sosialisme.

Di bawah sistem ekonomi campuran, hakmilik harta boleh berubah dari hak milik individu secara mutlak kepada hakmilik negara sepenuhnya. Nisbah di antara satu sama lain mungkin berubah dengan perkembangan ekonomi itu.

Cara bagaimana sesebuah perusahaan itu dimulakan juga berbeza. Perusahaan kecil-kecilan mungkin dibiarkan kepada individu manakala perusahaan yang lebih besar menjadi hakmilik negara dan dijalankan oleh negara.

Malaysia mempunyai sistem ekonomi campuran yang terbuka, berorientasikan eksport dan bergantung kepada mekanisma harga serta pasaran.

Perbezaan Dasar Sistem Ekonomi Islam dan Konvensional



Perbezaan dasar antara ekonomi Islam dan konvensional boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu:

1.Sumber (epistemology)

Sebagai sebuah addin yang syumul, sumbernya berasaskan kepada sumber yang mutlak iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Kedudukan sumber yang mutlak ini menjadikan Islam itu sebagai suatu agama (addin) yang istimewa berbanding dengan agama-agama ciptaan lain.

Al-Qur’an dan al-Sunnah ini menyentuh kita mempraktikkan ajaran wahyu tersebut dalam semua kehidupan termasuklah soal muamalat. Perkara-perkara asas muamalat dijelaskan di dalam wahyu yang melibatkan suruhan/galakan dan larangan.

Suruhan seperti makan dan minum menjelaskan tentang tuntutan keperluan asasi manusia, Penjelasan Allah s.w.t tentang kejadianNya untuk dimanfaatkan oleh manusia (Yasin ayat 34-35. 72-73) (an-Nahl ayat 5-8, 14, 80) menunjukkan bahawa alam ini disediakan begitu untuk dibangunkan oleh manusia sebagai Khalifah Allah (al-Baqarah ayat 30).

Larangan-larangan Allah s.w.t seperti riba (al-Baqarah ayat 275) perniagaan babi, judi, arak dan lain-lain kerana perkara-perkara tersebut menceroboh fungsi manusia sebagai khalifah tadi. Oleh itu sumber rujukan untuk manusia dalam semua keadaan termasuklah ekonomi ini adalah lengkap. Kesemuanya itu mejurus kepada suatu paksi iaitu pembangunan seimbang rohani dan jasmani manusia berasaskan tauhid. Manakala ekonomi konvensional pula ianya tidak bersumber atau berlandaskan wahyu. Oleh itu ianya lahir dari pemikiran manusia yang boleh berubah bila-bila masa sahaja berdasarkan pengalaman atau maklumat yang baru.

Kalau ada ketikanya diambil dari wahyu tetapu akal memprosesnya mengikut selera manusia sendiri kerana halatujunya ialah endapat pengiktirafan manusia bukan mengambil kira pengiktirafan Allah SWT. Itu bezanya antara sumber wahyu dengan sumber akal manusia atau juga dikenali sebagai falsafah yang lepas bebas dari ikatan wahyu.

Oleh itu sekalipun dapatan penyelidikannya adalah sama tetapi lahir dari kepompong yang berlainan. Tunjang yang tidak sama akan melahirkan implikasi yang berbeza kerana pakar ekonomi Islam bertujuan untuk mencapai al-falah di dunia dan akhirat, manakala pakar ekonomi sekular cuba menyelesaikan segala kemelut yang timbul tanpa ada pertimbangan mengenai soal ketuhanan dan keakhiratan tetapi keutamaannya hanyalah untuk kemudahan manusia di dunia sahaja.


2.Halatuju Kehidupan :

Halatuju ekonomi Islam membawa kepada konsep al-falah (kejayaan) di dunia dan akhirat tetapi ekonomi sekular untuk kepuasan di dunia sahaja. Ekonomi Islam meletakkan manusia sebagai khalifah dimuka bumi ini di mana segala bahan-bahan yang ada di bumi dan di langit adalah dipermudahkan untuk manusia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, matahari serta bulan dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya. Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan jua untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu mengingati ni’mat Allah itu.” (Surah al-Nahl ayat 12 – 13)

Kesemuanya adalah bertujuan untuk beribadat kepada Allah S.W.T sama ada berkaitan dengan soal ibadat yang khusus atau ibadat yang umum.Manusia merupakan makhluk yang tidak boleh bersendirian. Oleh itu dalam soal pemilikan harta terdapat harta milik individu dan juga terdapat hak-hak harta yang menjadi hak masyarakat umum. Oleh itu sebarang pencabulan atau pencerobohan kepada hak milik orang lain adalah suatu kesalahan.



3. Konsep Harta Sebagai Wasilah:

Di dalam Islam harta bukanlah merupakan matlamat hidup tetapi adalah wasilah atau perantara bagi merealisasikan perintah Allah swt. Matlamat hidup yang sebenar ialah seperti firman Allah swt surah al An’am ayat 162 yang bermaksud:

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah utnuk Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

Merealisasikan perintah Allah swt yang sebenarnya ini akan membawa kepada ketenangan hidup yang hakiki. Setiap Muslim percaya bahawa Allah swt merupakan Pencipta yang mampu memberikan ketenangan hakiki bukannya harta. Untuk itu harta bukanlah tujuan sebenar kehidupan tetapi adalah sebagai jalan bagi mencapai nikmat ketenangan kehidupan di dunia dan berterusan hingga ke alam akhirat.

Ini berbeza dengan sekular yang meletakkan keduniaan sebagai matlamat yang tidak mempunyai kaitannya dengan Tuhan dan akhirat sama sekali. Ini sudah tentu berlawanan dengan Islam.

Bagi merealisasikan matlamat hidup menurut aliran sekular ini mereka menggubal sistem-sistem mengikut selera nafsu mereka bagi memuaskan kehendak material mereka semata-mata.

Oleh kerana sistem sekular adalah berteraskan ekonomi buat untung tanpa mempedulikan apa-apa nilai wahyu, maka mereka mengutamakan kepentingan individu atau kepentingan golongan tertentu serta menindas golongan atau individu yang lemah dan tertindas di atas prinsip siapa kuat dialah yang berkuasa (survival of the fittest).

Antara sistem yang digubal ialah konsep riba. Riba bukanlah suatu yang baru. Ianya sudah lama dipraktikkan sejak dahulu lagi. Sebenarnya riba inilah yang membantut pertumbuhan ekonomi manusia. Ianya diibaratkan sebagai lintah yang menghisap darah manusia di mana akhirnya sisa-sisa hidup peminjam hutang secara riba terpaksa dihambakan kepada tuan punya harta tersebut yang semakin lama semakinbertambah hutangnya apabila bayaran gagal diselesaikan dalam tempohnya.

Di zaman tamadun Romawi misalnya apabila kaum wanita berkuasa dalam bidang ekonomi, mereka meminjamkan wang kepada suami mereka dengan kadar bunga yang tinggi dan akhirnya suami mereka menjadi hamba kepada mereka. Oleh kerana soal dunia sahaja yang dipentingkan maka kehidupan sekular ini hanya berpijak kepada memberi keseronokan peribadi sahaja dengan segala apa yang boleh didapati dengan segala cara yang ada. Inilah asas yang membezakan antara ekonomi Islam dengan sekular.

Di dalam Islam untuk mendapat keuntungan maka alternatif yang ada bukanlah berasaskan kepada riba tetapi berasaskan kepada sistem jual beli dan mudharabah. Di dalam Islam Allah s.w.t menjelaskan perbezaan antara riba dan jual beli iaitu jual beli adalah dihalalkan tetapi riba adalah diharamkan. Jual beli ialah kontrak yang berteraskan saling reda meredai tanpa sebarang hasutan atau matlumat yang palsu. Setelah masing-masing berpuas hati maka dijalankan aqad yang jelas melalui ijab dan qabul.

Sekalipun konsep jual beli ini nampak sama dengan sistem sekular tetapi sistem Islam adalah berteraskan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t. (yang menghubungkan dengan kejayaan akhirat – tidak seperti sistem sekular untuk kepentingan duniawi semata-mata) tanpa ada sebarang bentuk penipuan dan provokasi untuk kepentingan diri semata-mata. Di samping itu juga aktiviti-aktiviti yang dijalankan tidak terlibat dengan perkara yang merosakkan fungsi manusia seperti pernjualan barang-barang yang menyalahi syarak seperti arak, daging babi dan lain-lain.

Di dalam sistem muamalat Islam pelaburan merupakan suatu yang tidak asing lagi diperkatakan. Di dalam hal ini sistem mudharabah adalah merupakan suatu yang praktikal untuk dilaksanakan.

Di samping ianya tidak berteraskan riba ia juga memberikan pengagihan keuntungan yang saksama kepada setiap pemodal atau sekiranya menganggung kerugian maka setiap pemodal menanggung kadar kerugian yang sama.

Di dalam Islam tidak sepatutnya diizinkan pertarungan bagi membolot harta orang lain dan berusaha untuk mengaut untung menerusi pegangan saham orang lain serta merugikan pihak yang satu lagi (yang kalah bertarung) seperti mana yang berlaku di dalam bursa anjuran sekular.

Oleh kerana sistem Islam mengutamakan aktiviti pelaburan yang sihat dan mempunyai tujuan yang mulia maka aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti gharar adalah diharamkan. Gharar menurut bahasa ialah risiko yang tidak diketahui pada masa hadapan.

Dari segi iatilahnya gharar boleh dikatakan sebagai sebarang bentuk pemalsuan yang tidak ketara pada asalnya termasuklah judi. Salah satu dari aktiviti gharar yang diharamkan ialah aktiviti spekulasi yang merbahaya.

Spekulasi seperti ini tidak sama dengan perniagaan risiko tinggi. Spekulasi seperti ini sebenarnya adalah amalan judi kerana speculator mendapat untung di atas kerugian orang lain.Manakala risiko tinggi pula ialah tidak membabitkan kerugian kepada orang lain tetapi mendapat keuntungan secara bersih dari usaha yang dilakukan.

Dan kalaupun berlaku kerugian dengan sebab ijtihad yang salah, maka tidak ada pihak lain lagi akan mendapat keuntungan di atas kerugian kita dan begitulah sebaliknya.

Mengenai wang kertas emas dan perak, Islam meletakkkan emas dan perak adalah sebagai asset hakiki yang berharga yang menjadi kecenderungan manusia (al-‘Imran ayat 14) serta piawai bagi matawang dunia.

Di dalam dunia moden pada hari ini penggunaan wang kertas menggantikan emas dan perak tidak asing lagi kepada kita. Pada dasarnya ianya tidak mendatangkan masalah sekiranya wang kertas tersebut benar-benar disandarkan kepada nilai sebenar emas dan perak.

Namun apa yang menjadi masalah kepada dunia sekarang ini ialah golongan sekular ini menggunakan apa sahaja demi kepentingan material mereka. Sebagai contoh duit dolar Amerika syarikat pada tahun 1970 di zaman Presiden Nixon sebenarnya mencipta kejatuhan nilai yang teruk tetapi telah diisytiharkan sebagai setara dengan nilai emas.

Ini bermakna wang dolar tidak lagi disandarkan kepada emas bahkan pengeluaran wang dolar bukannya di bawah pengendalian Bank Negara tetapi diberikan kepada pihak swasta untuk mencetak wang iaitu Federal Reserve Bank tidak seperti di negara-negara lain diseluruh dunia yang di bawah pengendalian Bank Negara.

Problem Ekonomi

Sesetengah penulis cenderung untuk memperkatakan bahawa apabila wujud sistem ekonomi Islam maka sudah tentu tidak ada masalah sama sekali bahkan meletakkan masalah ekonomi itu ialah masalah manusia sendiri bukannya masalah pengeluaran.

Oleh yang demikian mereka tidak gemar berbicara tentang aspek sumber yang terhad. Pada hakikatnya sememangnya Allah SWT berkuasa membuka khazanah baru kepada manusia di alam ini dengan menyebut ‘Kun’ sahaja. Masalah ekonomi yang menjadi ujian Allah swt ini dengan mengambil petunjuk Ilahi iaitu wahyu sebagai kunci kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sekiranya kita melihat dari sudut ‘harta yang terhad ini’ semata-mata disebabkan tidak mengikut perintah Allah swt dan sekiranya mengikut segala perintah Allah swt maka tidak berlaku sama sekali masalah demikian, maka hal ini perlu difahami dengan wajar.

Ini ialah kerana bukan semestinya apabila seseorang atau sesebuah negara itu beriman sebenar-benarnya, langsung tidak ada masalah di dunia ini dan harta semestinya menjadi cukup, tetapi ianya mungkin cukup atau mungkin tidak cukup.

Di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab misalnya pernah berlaku masalah tidak cukup makanan. Apakah di zaman Umar kita boleh anggap bahawa pemerintahan Islam tidak bagus sedangkan dalam sejarah Islam begitu jelas sekali sifat keadilan dan ketaqwaannya dan beliau tergolong di dalam senarai Khulafa’ al-Rasyidin.

Oleh yang demikian boleh kita katakan sumber yang terhad ini yang mungkin berlaku pada satu masa tertentu mungkin merupakan salah satu dari ujian Allah swt seperti di dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang sabar: iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka ini ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”.

Walaupun sekali imbas ianya kelihatan tidak baik dan tidak disukai tetapi boleh jadi yang tidak disukai itu adalah kebaikan bagi kita sepeti tahu mensyukuri ni’mat Allah apabila melimpah ruah, tahu berjimat cermat dan tidak membazir, mematangkan pemikiran kita dan sebagainya.

Apatah lagi terlalu banyak bahan-bahan makanan halal dan baik-baik yang dijadikan oleh Allah swt kepada kita sama ada ianya asasi atau tidak asasi (manakala jenis-jenis makanan yang diharamkan adalah sedikit sahaja).

Sekalipun masalah-masalah ini tetap ada di mana-mana yang termasuk sebagai ujian Allah swt maka Islam memberikan alternatifnya dengan berbagai-bagai cara. Untuk itu setiap manusia sebagai khalifah Allah swt mestilah bertaqwa, berusaha dan berdoa untuk mendapat jawapan bagi setiap permasalahan seperti berusaha menyusun pengagihan yang adil, menghapuskan riba, mentadbir sistem zakat secara berkesan dan lain-lain.

Satu perkara lagi yang perlu disedari bahawa bencana kepada manusia bukan sahaja bersifat kemiskinan tetapi juga kemewahan. Negara-negara barat yang dianggap maju dan membangun seperti Amerika Syarikat yang menhadapi masalah sakit jiwa dan kadar jenayah yang tinggi.

Dari segi kepuasan, kebiasaannya manusia tidak pernah puas dan cukup dengan apa yang ada. Dari satu segi ketidakpuasan ini ada juga bersifat positif iaitu tidak puas dengan amalan kebajikan yang dilakukan bagi mendapat keredaan Allah swt untuk mencapai al-falah di akhirat, melahirkan kreativiti bagi memantapkan fungsi sebagai manusia mengikut syariat Allh swt, menggalakkan usaha dan produktiviti yang lebih agar lebih dapat membantu dan memajukan diri sendiri, keluarga dan negara mengikut syariat Allah swt dan lain-lain lagi yang tidak keluar dari niat kerana Allah swt dan mengikut landasan syariat untuk keredhaan Allah swt.

Dari sudut kepuasan yang negated pula ialah bersifat menurut hawa nafsu tanpa memikirkan maslahat orang lain atau maslahat umum tetapi hanya untuk kepentingan diri semata-mata.

Apa yang dipentingkan ialah kepuasan sendiri sahaja dengan berbagai cara tanpa melihat dari segi aktiviti tersebut mengikut landasan syariat atau tidak, ataupun aktiviti mengikut syariat tetapi niat seseorang itu tidak mengarahkan hanya kepada Allah swt untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat kelak tetapi hanya terhad untuk kepentingan duniawi semata-mata. Bertitik tolak dari ini lahirlah aliran kapitalis yang menaja sistem ekonomi buat untung dengan segala cara bagi mencapai matlamat yang diinginkan.

Walau bagaimanapun masalahnya yang berlaku, sepatutnya tidak menjadi alasan kepada manusia untuk mengelakkan diri dari mempraktikkan sistem ekonomi Islam (dan juga sistem-sistem lain secara menyeluruh) kerana ianya adalah suatu tuntutan kepada penyelesaian masalah manusia.Mungkin ianya tidak ketara dari sudut harta tetapi menonjol dari segi keberkatan yang lain seperti tidak banyak berlaku keganasan manusia dan ketenangan jiwa, kesihatan manusia, ternakan dan lain-lain.

Sesungguhnya Allah swt mampu segala-galanya dan Dia menyediakan kepada kita segala-galanya. Pokok pangkalnya apa yang diamanahkan kita itulah sepatutnya dilaksanakan. Soal natijah itu hendaklah diserahkan kepadaNya. Apa yang penting ialah merealisasikan perintahNya berdasarkan aqidah dan keyakinan yang kental berserta dengan praktikal doa dan usaha yang gigih.


Kaedah-kaedah Asas Dalam Sistem Ekonomi Islam

Oleh kerana sistem ekonomi Islam bermatlamatkan mencari keredhaan Allah swt semata-mata yang berbeza dengan sistem ekonomi konvensional, maka terdapat garis panduan bagi menjadikan sistem ekonomi itu teratur, seimbang dan diredai oleh Allah swt serta membahagiakan sesama manusia.

1.Harta merupakan hak Allah swt yang mutlak

Ini merupakan rukun asasi dalam akidah Muslim seperti firman Allah swt yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki”.

Manusia sebagai khalifah dimuka bumi, maksud firmanAllah: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” bertanggungjawab untuk menggunakan dan membelanjakan apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah swt di muka bumi mengikut perintah Allah swt:

“Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu sebagai wakil untuk menguasainya”.

Bertitik tolak dari inilah dasar kebebasan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini terkandung menerusi amalan pemikirannya bagi mencari pendekatan kaedah-kaedah pelaburan, penggunaan sumber-sumber alam dan usaha-usaha dalam batas-batas yang diredhai Allah swt.

2.Aktiviti perekonomian merupakan suatu ibadat

Unsur asasi untuk mendapatkan rezeki ialah pekerjaan.Lantaran itulah kita dapati Islam memberi penekanan dari segi kerja dan menyeru manusia agar bekerja bagi menghasilkan maslahat dunia dan akhirat. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Apabila selesai sembahyang maka bertebaranlah di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya (dunia dan akhirat)”.

Dengan ini aktiviti ekonomi termasuklah aktiviti pasar merupakan suatu ibadat. Umar al-Khattab berkata: “Tidak ada seorang rakyat yang datang kepadaku lalu ia meninggal, lebih aku cintai melainkan yang berurusan jualbeli denganku untuk keperluan kaum keluargaku”. Al-Qurtubiy di dalam tafsirnya mengenai surah al-Saf ayat 10 –12 menyifatkan perniagaan adalah sebagai jihad.

3.Asal sesuatu adalah harus

Sesungguhnya asal bagi ciptaan Allah swt terhadap sesuatu ialah halah dan harus, tidak diharamkan kecuali terdapat dalil nas yang jelas mengharamkannya. Ini adalah pendangan majority ulama’ Islam. Oleh itu segala aktiviti adalah harus dan halal selagi tidak melibatkan diri dengan yang diharamkan oleh Allah swt menerusi nas. Walau bagaimanapun larangan Allah swt tidak banyak berbanding dengan aktiviti yang harus dan halal yang begitu luas.


4.Uruf dan adat diambil kira dalam transaksi

Uruf ialah adat yang dipraktikkan di kalangan manusia, manakala adat yang khas bagi individu-individu tidak dinamakan uruf. Adat dan uruf pada asalnya mempunyai makna yang sama tetapi ahli-ahli usul dan ahli-ahli Fikh menentukan bahawa uruf adalah lebih umum dari adat.


5.Mencapai Maslahat Khas dan Am

b)Intipati syariah ialah maslahah seperti kata Imam al-Syatibiy: (sesungguhnya diletakkan syariah itu ialah untuk kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat)

ii)Mengambil kira maslahah individu dan maslahah ramai/umum. Kaedah ini yang membezakan antara sistem kapitalis dan Sosialis/Komunis di mana kapitalis yang menekankan maslahah individu manakala Sosialis menekankan maslahat umum.

iii) Mengutamakan maslahah umum apabila bercanggah dengan maslahah individu. Di antara kaedah fikah di dalam soal ini ialah: (Apabila berlaku dua kerosakan, hendaklah dipilih yang paling ringan)


6.Mengetahui hukum-hakam

Seseorang yang ingin bermuamalat semestinya mengetahu tentang soal hukum hakam, haram dan halal serta memenuhi syarat yang ditetapkan. Menurut Imam Nawawi, seseorang yang berurusan di dalam ekonomi sekurang-kurangnya dapat mengetahui hukum h akam yang lahirnya diketahui oleh orang ramai.

Penutup

Sistem ekonomi Islam atau dikenali sebagai muamalat adalah suatu sistem yang mantap kerana berdasarkan wahyu yang jelas dari Yang Maha Berkuasa iaitu Allah swt. Namun ianya menjadi agak complicated terutamanya akhir-akhir ini, disebabkan kerana terikut dengan rentak dan cara hidup serta pendidikan barat yang mengabaikan aspek yang paling penting kepada manusia iaitu pembangunan manusia hakiki berteraskan paradigma tauhid bagi menuju pengiktirafan Allah swt bagi mencapai al-falah dan bukannya semata-mata bangunan yang barangkalinya didiami oleh manusia-manusia yang ketandusan jiwa dan akhlaknya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...