Tuesday, April 27, 2010

UKHWAH





Topik utama yang berlegar di fikiran saya sehingga saat ini. Pengertian ukhwah yang ditafsir semula setelah melalui beberapa sesi ujian dan menempuh cabaran atas kehendak Illahi. Bukan maksud saya untuk mentafsir secara membuta-tuli tetapi satu tafsiran berdasarkan pengalaman peribadi seseorang terhadap Ukhwah yang 'terikat' pada diri.

Asas ukhwah dalam Islam ialah akidah Islamiyah. Hanya Allah Taala sahaja yang mampu untuk menyatukan jiwa-jiwa manusia. Dengan memahami dan menghayati akidah Islamiyah, umat Islam akan menjadi umat yang bersatu dan cemerlang. Seperti firman Allah Taala :

وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُ‌ۚ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongannya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana '.
(Al-Anfal : 62 -63)
Rasulullah S.A.W bersabda :
" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri ". ( Riwayat : Bukhari & Muslim )

Ukhwah bukanlah sesuatu yang retorik dan skema tetapi ukhwah mestilah jujur dan ikhlas dengan unsur-unsur keceriaan yang mewarnai kehidupan berkeluarga. Ukhwah yang ceria mampu menandingi kemandoman ukhwah yang 'formal' dan statik.

Cabaran utama ke arah penyatuan jiwa ukhwah Islamiah yang paling besar ialah perbezaan mazhab, pendapat dan ideology. Perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan telah wujud dalam sejarah peradaban Islam bermula dari kewafatan Rasulullah. Masyarakat Islam telah berbeza pendapat tentang siapa yang layak sebagai pengganti Rasulullah untuk menjadi ketua umat Islam. Kemuncak kepada perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perpecahan aliran pemikiran dalam Islam. Golongan-golongan ini saling menidakkan sumbangan pihak yang lain dan melahirkan pelbagai slogan dan fatwa yang bercanggah.

Perbezaan yang paling ketara ialah antara golongan syiah dan sunni. Malah dalam kelompok sunni sendiri telah berpecah kepada empat mazhab yang besar. Umat Islam sewajarnya melihat perpecahan sebagai satu rahmat kepada seluruh umat Islam. Perpecahan ini sewajarnya menjadi sesuatu yang saling mengukuhkan dan mengisi kekosongan antara satu sama lain.



tautan ukhwah

Kewujudan tembok pemisah antara ahli keluarga merupakan halangan utama yang membatasi persaudaraan yang dengannya, tanggungjawab sesama ahli keluarga terbatas hingga membawa kepada perpecahan dan kehancuran.

Kepentingan diri merupakan tembok yang paling besar kepada penyatuan ummah. Seringkali manusia kalah apabila berlaku konflik antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Prinsip Islam jelas, bahawa apabila berlaku konflik ini, kepentingan umum adalah mengatasi. Di sini, kekuatan iman yang melahirkan ukhuwah Islam yang sebenar akan diuji. Hanya Iman dan takwa mampu mengenepikan kepentingan diri demi untuk saudara seislam dan agama Islam umumnya.

Ukhwah fillah (persaudaraan Islam) bukanlah sesuatu yang dapat dibeli dengan harta dan juga bukan warisan dari ibu-bapa. Ianya merupakan kesatuan roh yang disaluti cinta suci dan dilimpahi kasih Ilahi. Semua ini dalam bentuk rahsia yang Allah kehendaki. Tautan dan jaringan rahsia ini mampu menguasai dua hati mukmin yang belum pernah bertemu dan berkenalan sebelumnya. Mereka secara ajaib merasai tali persaudaraan yang mengikat antara satu sama lain. Tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menunggu untuk bertemu kembali. Mereka sama-sama merasai nikmat kesetiaan dan persaudaraan.

Maha Suci Allah yang telah mempersaudarakan setiap hati mukmin dengan aqidah Islam. Ikatan ini begitu teguh terpelihara di sisi Allah. Tiada sesiapa pun dan apa jua kuasa pun yang dapat memutuskannya, selagimana individu terbabit mempertahankan keimanan dan ketaqwaan.

Perhatikan dengan teliti maksud hadis berikut;
“Roh-roh itu bagaikan bala tentera. Mana-mana askar yang berkenalan antara satu sama lain akan bersatu dan mana-mana yang tidak mengenali antara satu sama lain, akan pula berselisih”. (HR Bukhari dan Muslim).

Semoga Allah mengikat antara hati-hati kita dengan ikatan ukhwah fillah yang telah dijanjikanNya untuk beroleh limpahan kasihNya,
Rasulullah SAW bersabda; “Allah berfirman: cintaKu pasti akan mereka perolehi bagi orang yang saling mengasihi kerana Aku, saling mengunjungi kerana Aku, dan saling memberi kerana Aku”.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...