Tuesday, August 31, 2010

Khabar Iman

Salam’alaik.

Aku tersentak apabila ada sahabat yang bertanya ‘apa khabar iman di hati?’. Sejenak aku berfikir. Ya, apa khabar imanku yang sekian lama tidak aku hisab atas kesibukan yang amat sejak akhir2 ini? Adakah sibuk boleh dijadikan alasan sehingga aku terlupa untuk menjaga nikmat besar iman? Ya Allah! Terima kasih kepada sahabat yang bertanyakan khabar imanku. Sungguh aku sendiri terlupa untuk memantau tahap kesihatan imanku. Sibuk dengan peperiksaan, sibuk dengan ‘portfolio day’, sibuk dengan macam2 sehingga aku mengabaikan kesihatan iman. Iman, sihatkah kau?

Ya Allah, kata iman di hati ini, dia sedang jatuh sakit. Walaupun mungkin tidak parah, tapi, dia merajuk denganku lalu jatuh sakit. Dia merajuk lantaran aku sedikit mengabaikannya.Duhai hati, maafkan aku. Aku akui sejak akhir2 ini aku terlupa untuk memberimu makan yang enak2 dan berkhasiat, aku terlupa untuk menyegarkanmu.Hati, aku sedih kerana aku hanya mampu memberikan paling banyak dua mukasurat alunan ayat cinta Allah kepadamu. Selebihnya aku lebih banyak berkejar ke sana ke mari dalam melaksanakan tugasku sebagai seorang pelajar. Ya Allah, sekarang juga aku merasa rindu!

Dulu aku rajin melengkapkan jadual muhasabah harian, sekurang2nya aku dapat menilai sejauh mana tahap ibadatku, sebanyak mana usahaku menyuburkan iman di hati. Tapi, sejak akhir2 ini, aku tidak lagi mengisi jadual tersebut malah buku catatan harianku juga semakin kosong. Benarkah aku tidak sempat ataupun aku sengaja tidak menyempatkan diri? Ya Allah, aku ini sangat lemah, sehingga kadang2 aku berlaku kejam terhadap diri sendiri, membiarkan diri kehausan air hikmat penyubur iman. Ya Allah, aku rindu saat itu, saat aku mampu mengalirkan air mata kerana rindukanMu, saat aku mengalirkan air mata mengingati dan takutkan azabMu. Tapi, kenapa sekarang ia tidak lagi mahu jatuh? Mataku kering tidak sebasah dulu, pipiku juga kering tidak selembap dahulu. Aku tahu, itu tandanya khabar imanku kurang baik.

Menghayati kisah ashabul ukhdud. Betapa sucinya jiwa orang yang menjaga imannya. Sehingga sanggup dibakar hidup2 demi menyelamatkan iman. Aku juga harus begitu. Dugaan dan cabaran buatku tidaklah setinggi itu, hanya kecil dugaannya, diduga dengan sedikit kesibukan. Hanya itu! Jadi, aku seharusnya lebih menjaga sebaik2nya iman, jaga sehingga ia boleh dibawa bersama sihat walafiat ketika roh bercerai daripada jasad. Sepanjang masa, aku perlu belai iman sebaiknya. Suburkannya dengan berzikir sekurang2nya. Ya, itulah yang sepatutnya lebih2 lagi sebagai seorang yang bernama pembela dan pejuang agama.

Apa khabar iman? Ayuh, kita muhasabah bersama2. Dalam kita sibuk menghadapi peperiksaan, jangan pula kita lupa untuk menjaga iman. Jangan juga hanya kerana peperiksaan, barulah kita rasa mahu dekat denganNya sekadar untuk dipenuhi satu permintaan dan hajat. Moga kita terus istiqamah dalam beribadat dan melakukan kebaikan Semoga hati kita dalam keadaan sihat sejahtera, jika tidak, perlulah dirawat segera! Salam imtihan dan salam menjaga keimanan.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, pada
hal kamulah orarg-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang
yang beriman."
(Aali Imran: 139)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...