Friday, December 31, 2010

cuti-cuti malaysia






salam sahabat yang ana kasihi kerana allah

saje lame tak menaip ni hehehe..

penat tapi heppy coz dapat p jalan2...

melihat keindahan alam ciptaan allah ..

subahanallah cantiknye...

merasakan kedilnya diri ini....

terima kasih pak cik n mak cik coz sudi join kami p cameron..


ok la yek syukran to shu, mira, siti , isma , mak cik n pak cik

Thursday, December 30, 2010

Dalam FIKIR mesti ada ZIKIR



“Abang, atap rumah kita sudah bocor. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” rungut si isteri.

“Abang tahu. Maafkan abang” balas sang suami. Riak wajahnya menampakkan kesal yang mendalam.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi.

“Marilah berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si suami.

“Apa abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri.

Itu bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang kemiskinan dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea yang boleh mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, berniaga pasar malam atau apa sahaja.

Tapi bukannya wirid-wirid! Zikir-zikir!

“Bukankah di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan pendiriannya.

Mungkin dia merujuk kepada firman Allah:

“…ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia” [al-Ra'd 13: 28]

“Yelah tu, bang! Nanti kalau anak kita menangis kelaparan, abang suap dia dengan biji tasbih ya!” sindir si isteri.

Si suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan kebenaran.

Walaupun hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di fikiran. Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut berzikir dan bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, terhapuskah tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap nak kena cari.

Maha Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa zikir itu mengundang tenang.

Subhanallah… tidak mungkin ayat itu menipu.

Maha Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal.

Maha Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan, tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata.

“Eh, sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la itu Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si suami.

“Alhamdulillah… tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian.

Setelah perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini (tentang Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat satu demi satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk dimanfaatkan bagi memperbaiki kehidupan.

Masih sihat.

Masih bertangan dan berkaki.

Masih bermata dan bertelinga.

Masih punya banyak kurniaan yang diberikan Allah secara percuma untuk diguna.

Alhamdulillah!

Terpacul ungkapan yang memuji Allah. Bahawa kesusahan yang dialami bukan kerana zalimnya Allah ke atas diri, tetap sebagai peringatan ke atas diri yang sudah lama menzalimi diri sendiri, kerana tidak menggunakan sepenuhnya segala nikmat yang diberi.

Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah, dirinya tidak jadi sinikal seperti si isteri. Fikirannya dapat diluruskan dan Alhamdulillah beliau mendapat kekuatan untuk berfikir dan tidak berputus asa.

“Allahu Akbar! Allah tidak tipu. Aku sudah tenang. Ayat itu benar. Aku mesti mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada fikir. Baru tenang hati dan tenang minda,” kata si suami.

FORMULA DI SEBALIK WIRID

Benar… kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing.

Ketika kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu bukanlah tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang mengurangkan peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama ikhwah.


Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang golongan fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, lalu mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan baik terpuji. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian maksudkan? Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak bersedekah kerana tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami tidak mampu berbuat demikian…

Malah keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat oleh Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu?

Apakah yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sahabat?

Kaedah mengenal pasti peluang-peluang perniagaan?

Teknik pertanian terkini untuk memajukan hasil bumi Madinah?

Strategi pemasaran untuk meluaskan urus niaga mereka?

Tidak…

Apa yang diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah lebih penting daripada itu semua. Kesemua yang disenaraikan di atas adalah perkara sekunder. Sedangkan apa yang lebih utama, membetulkan suasana dalaman akal, hati dan nafsu manusia.

Bahkan, ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali selesai mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali

Subhanallah…

Alhamdulillah…

Allahu Akbar…

33 kali setiap satu setiap kali selesai bersolat…

Kalimah-kalimah ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi kehebatannya tidak terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ kita di Sana. Ia juga mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang melaziminya pada kehidupannya di dunia.

Kalimah yang berkuasa tinggi.

Diucapkan dengan emosi.

Diulang 33 kali.

Mustahil ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia miskin dan susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih baik. Cemerlang.

SUBHANALLAH

Apa yang diSUBHANALLAHkan?

Maha Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah begini.

Maha Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang sedang aku alami.

Maha Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang kutanggung ini.

Maha Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku ini.

Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, tidak harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang negatif.

Justeru jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka bukanlah kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal memanfaatkan ‘modal percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu keburukan.

Jika kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini bermakna kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki tangan, kaki, kepala, mata, telinga, otak, dan tubuh badan ini sebagai bahan untuk mencari laba kehidupan?

PERCUMA!

Semuanya diberikan oleh Allah dengan elok dan baik. Justeru pada saat aku merasakan bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar untuk mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini. Alhamdulillah…

ALHAMDULILLAH

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam kehambaan kepada-Mu.

Segala puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu.

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir sebagai penghulu kehidupan.

Segala puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar terdesak untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian yang banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam SYUKUR.

Alhamdulillah.

Subhanallah telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar tatkala aku mengucap Alhamdulillah. Benar-benar segala puji itu adalah untuk-Nya.

ALLAHU AKBAR

Tenang… kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang jalan. Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini aku benar-benar tenang. Allahu Akbar!

Indahnya hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang mencetuskan keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang menjadikan aku manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan.

Allahu Akbar!

Maha Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan FIKIR.

FIKIR yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR.


Itulah kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah berperasaan buruk terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, suatu ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama para sahabatnya dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang terkejut) Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang menyebabkan aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal seorang mukmin. Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu yang disukainya, dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan jika dia ditimpa sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah baik untuknya kecuali MUKMIN.
SUMBER:saifulislam.com

Bila memilih agama, perlu berkahwin dengan ustazah?



Assalamu'alaikum dan salam mahabbah buat semua pembaca. Ikatan perkahwinan adalah amat penting dan semuannya hanya untuk mencari keredhaan Allah swt.Saya sebenarnya bukannnya mahu sangat bercerita berkenaan isu-isu ini, cumanya bila melihat 'trend' remaja berpacaran yang tidak menentu ini, coretan saya banyak kepada pembinaan Baitul Muslim yang lebih dekat dengan remaja di jalan dakwah.

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih. Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya. Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga. Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya. Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku" Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun. Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati. Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.



Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia? Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz? Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama. Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah. Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor. Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.
sumber:iluvislam.com

Muslim Dan MUKMIN..Dimanakah kedudukan kita...???



Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita... sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.



Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

1.Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.

2.Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.

3.Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.

4.Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.

Sunday, December 12, 2010

KHASIAT RAWATAN BEKAM



Rawatan bekam sekarang ini menggunakan peralatan terkini untuk menyedut darah kotor disekitar badan.Ia bagus untuk merawat migran dan membersihkan darah.Darah yang kotor dan terkumpul pada saluran darah tertentu di bahagian badan boleh menimbulkan sesuatu penyakit seperti gout,migran,kebas anggota badan,kanser,resdung dan sebagainya.Sesiapa badannya ada banyak gangguan jin/sihir/saka amat bagus untuk berbekam,sebab jin bergerak dan membuang najis dalam darah manusia dan secara tak langsung ia akan mengotorkan dan menyekat kelancaran perjalanan darah,lalu wujudlah bermacam penyakit keturunan seperti migran,asma,hilang fokus,stress,gout,resdung dan macam-macam lagi...jadi bila kita berbekam di pusat kepala atau sekitar badan,secara beransur-ansur jin tu dah disedut keluar...tu yang nampak darah kotor yang bertali selepas berbekam...Ia juga disebut sbg al hijamah dan rawatan ini adalah sunnah nabi.

Hadis Rasulullah S.A.W:"jika ada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit, maka bekam juga dapat menyembuhkannya."HR Malik


FAKTA MENGENAI RAWATAN BEKAM

Bekam darah dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihat tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.

Waktu rawatan untuk bekam pula, pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa berbekam paling baik dilakukan ketika pertengahan bulan islam kerana ketika ini, darah toksik sedang berhimpun. Bagaimanapun, rawtaan bekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit.Mereka yang hendak mendapatkan rawatan bekam dinasihatkan tidak makan makanan berat antara dua hingga jam sebelum berbekam dan lebih baik berpuasa sebelum mendapatkan rawatan bekam.Alat-alat bekam pada zaman Nabi Muhammad, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk berbekam, manakala orang Cina pada zaman kuno, menggunakan tanduk. Orang Eropah pada abad ke-18 menggunakan lintah untuk menghisap darah toksik dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat di Barat hingga sekarang.

Ketika masih ada pengamal bekam menggunakan kaedah tradisional, perubatan bekam mula menerapkan unsur moden melalui penggunaan alat seperti mangkuk, pisau pembedahan, bahan antiseptik, manakala pengamal bekam menggunakan sarung tangan yang sama seperti pengamal perubatan moden.Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.Kebaikan Berbekam Membantu menghilangkan pening dan migrain. Membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan. Membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam. Membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki. Membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar. Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat. Membantu meringankan tubuh.

Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas. Berbekam juga membantu menajamkan penglihatan. Peredaran darah ke mata yang tersumbat menyebabkan penglihatan kabur. Dikatakan dapat merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan seperti ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang serta banyak lagi.

DALIL TENTANG RAWATAN BEKAM

أن النبي صلى الله عليه وسام احتجم وهو محرم صائم . رواه مسل“
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berbekam di dalam keadaan baginda berihram dan berpuasa. “-Riwayat Muslim dalam sesetengah tariq Hadis Syadad, itu berlaku pada zaman pembukaan Mekah sedangkan Ibn Abbas mendampingi baginda ketika Hajjatul Wida.

Hadith-hadith lain dia (Anas) berkata:

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Tidaklah aku melewati sekelompok malaikat pada malam aku diisra`kan kecuali mereka berkata, Wahai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam.”Riwayat Ibnu Majah (3479), Kitab Pengobatan, Bab Bekam.Disahihkan al-Albani dalam Shahih al-Jami` (II: 5671), dan Takhrij al-Misykat (4544).

Dari Ibnu ‘Abbas, bahwasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tidaklah aku melewati sekelompok malaikat pada malam aku diisra`kan kecuali tiap mereka berkata kepadaku, wajib bagimu wahai Muhammad untuk berbekam.”Riwayat Ibnu Majah (3477), Kitab Pengobatan, Bab Bekam.Disahihkan al-Albani dalam ash-Sahihah (V: 2263) dan Shahih al-Jami` (II: 5672).

Dari Said Ibnu Jabir dari Ibnu Abbas dari Nabi SAW "kesembuhan itu berada pada tiga hal, yaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan sundutan dengan api (kay). Sesungguhnya aku melarang ummatku (berobat) dengan kay.”-Hadith Sahih Al Bukhari


LARANGAN BAGI RAWATAN BEKAM

Tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan. Mereka termasuk yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis,perempuan mengandung 3 bulan pertama,berpuasa,perempuan datang haid,masalah kulit yang serius atau dalam keadaan sangat letih.Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.

Sedarlah Ketika Masih Diberi Waktu


Sabda rasulullah s.a.w : "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)

Pernahkah kita terfikir,apabila melihat dunia ini? Dunia yang indah,yang diciptakan oleh Allah kini tercemar dengan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia?

Pernahkah kita terfikir akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan? Pernahkah kita berasa malu dengan Allah terhadap maksiat-maksiat yang kita lakukan sepanjang hidup kita? Kita diberi rezeki di dunia ini, tapi adakah kita mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya?

Cuba kita fikir, kalaulah kita mati sekarang, layakkah kita ke syurga? Kita patut bersyukur kerana masih lagi hidup di dunia ini dan masih dapat bertaubat dan beribadat kepada-Nya. Jadi, gunakanlah masa sebaik-baiknya, hidup di dunia hanya sementara, carilah pahala untuk akhirat nanti. Kita sekarang berada di dunia akhir zaman.

Selepas kedatangan Dajjal, dunia ini tidak lagi penuh dengan kemaksiatan. Hanya tinggal orang soleh dan benar-benar bertakwa kepada Allah sahaja. Jadi,fikir-fikirkanlah, adakah kita ini sebahagian daripada mereka?

Jika difikirkan kembali, alangkah baiknya kalau kita ini buta, pekak dan bisu. Kenapa?

Sesungguhnya orang-orang ini diberi kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Orang yang buta tidak akan dapat berzina melalui mata kerana dia tidak akan nampak aurat-aurat yang didedahkan oleh orang-orang yang tidak menjaga auratnya.

Orang yang pekak dapat mengelakkan diri daripada zina telinga dan terjaga daripada mendengar perkara-perkara yang tidak baik.

Orang yang bisu dapat mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah,mengumpat,berzina melalui perkataan dan sebagainya.

Tapi, kita seharusnya bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita pada hari ini, kerana kita dapat melihat dunia ciptaan Allah s.w.t yang indah ini.

Kita masih lagi dapat mendengar zikirullah, azan yang berkumandang dan sebagainya. Kita juga masih lagi dapat bercakap untuk menyebarkan dakwah serta membaca Al-Quran.

Jadi, butakanlah mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan zina atau dosa, bisukanlah suara kita daripada menyebarkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak baik dilafazkan. Sesungguhnya orang yang menyebarkan fitnah seperti meratah daging saudara sendiri.

Pekakkanlah telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tiada faedahnya dan dengarlah sesuatu yang mendatankan kecintaan kita kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Lakukanlah perkara-perkara yang memantapkan lagi iman kita.

Carilah "harta" iaitu pahala yang boleh dibawa ke akhirat. Jauhilah dosa dan maksiat.

Berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap pekara di atas dunia ini. Bertaubatlah selagi kita masih diberi waktu oleh Allah. Carilah cinta Allah s.w.t, satu-satunya cinta abadi yang tiada penipuan, kecewaan dan kekal.

Usah Ungkit Kebaikan Dibuat


Ada banyak perkara yang kita tidak boleh lupa. Kita tidak lupa ibu bapa, kita ingat harta benda dan antara yang kita tidak lupa ialah kebaikan yang pernah kita lakukan.

Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita berjasa, teringat jasa kita. Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung sesama manusia.

Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas.

1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.

2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.

3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa yang kita buat.

Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan, menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan.

Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan sekali ungkitan.

4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita.

Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita perlu melawan supaya kita boleh lupakan kejahatan orang lain.

Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita, malah menjadikan hidup kita tidak ceria.

Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.

nasihat lukman al hakim

Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita berjasa, teringat jasa kita. Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung sesama manusia.

Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas.

1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.

2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.

3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa yang kita buat.

Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan, menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan.

Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan sekali ungkitan.

4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita.

Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita perlu melawan supaya kita boleh lupakan kejahatan orang lain.

Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita, malah menjadikan hidup kita tidak ceria.

Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.

- Artikel iluvislam.com

Untuk menghantar sebarang artikel, karya atau berita sila klik di sini!



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...