Wednesday, September 29, 2010

Diari Silam




begitu kelam malam yang suram, hatiku luluh dalam titisan air mata,
Melihat dirimu berjasad kaku, kelopak mataku mula menangis,
Saat terbayang ukiran senyumanmu, dihiasi tirai pelukan cintamu.

Wahai mutiara insan,
Engkau membesar umat dunia, tanpamu manusia binasa sengketa,
Semuanya lapar, dahaga, letih merana.

Dulu...
Saatku mula menangis engkau mengusap kepalaku,
Saatku ingin dilayar mimpi kau biarkan kuterlena disisimu,
Sanggup dirimu berjaga malam menemani diriku ditangisan malam,
Tepukan lembutmu menyambung semula mimpi indahku,
Saatku mula mengerti dunia,
Engkau mengajarku satu persatu, abjad terawal hingga terakhir,
Nombor satu hingga sepuluh, dari ‘alif’ hingga ke ‘ya’,
Dari perkataan ke perkataan, bermula aturan susunan ayat,
Hingga menjadi karangan sempurna, senyuman gembira terukir dibibirmu.



Ketika mana mula menjejak langkah, menhadirkan diri ke alam persekolahan,
Engkau mengejutku agar bersolat, engkau siapkan pakaian untukku,
Sarapan terhidang hasil keringatmu, kulahap semuanya bersama kesyukuran,
Kau iringiku melangkah ke sekolah, memegang tanganku selembut kasih sayang,
Tidak kira panas atau sejuk, terik atau hujan, kau pegang tanganku dari rumah ke meja kelas,
Engkau pergi bersama doa, tinggalkan aku untuk belajar,
Datang semula menjemputku pulang, walaupun letih menyaluti tubuhmu.

Aku temuduga ke alam remaja, sedikit demi sedikit memahami dunia,
Engkau menyokong dari belakang, aku terus maju kehadapan,
Engkau membimbing setia disisiku, aku menyahut setulus ikhlasku,
Tapi kerana sikap berubah, setitik demi setitik hatiku bertompok hitam,
Aku mula berubah, engkau bimbang akan diriku, aku langsung tidak mempedulikanmu.

Aku mula terikut rakan, aku mula tinggalkan rumah, aku mula kehilangan adab,
Terjebak dalam kehinaan, dibelenggu hasutan syaitan,
Padahal ketika itu,
Engkau menangis siang dan malam, merapatkan kedua tanganmu,
Lantas mengucap kalimah ampun, dalam doamu kau ampuni aku,
Aku langsung tidak tahu.

Sedang aku bergembira, memikirkan keindahan perhiasan dunia,
Terbaca risalah rintihan seorang ibu, aku menghayati satu persatu,
Makin dibaca makin sayu, makin dihayati makin pilu,
Terasa sesuatu dibenak kalbuku, terbayang daku raut wajahmu,
Wajah suci berkulit bersih, berpakaian telekung serba putih,
Dalam mimpiku engkau hadir, melafazkan ucapan di lorong hatiku.

“Anakku.. ibu merinduimu...ibu amat mengasihimu..
Pulanglah kepangkuanku, rasailah sesuap air tangan ibu,
selesalah tidurmu dalam usapanku, bangunlah bersama suara ibu,
Anakku.. ibu sudah tua,
Dari kecil ibu membelaimu,
Ibu rindu ucapan sayangmu, ibu rindu ukiran senyumanmu,
Ibu rindu kelembutan tanganmu, ibu rindu suara manjamu,
Kembalilah.. kembalilah kepada ibu..”


Satu malam ibu dikunjungi jiran,
Menolong menyediakan ketupat raya, dihidangi juga rendang yang kusuka,
Engkau jahitkan baju untukku, mengharap kupulang memakai pakaian baru,
Walaupun bertahun-tahun kau ulangi perkara sama, mengharap aku pulang bersama,
Walaupun bertimbun baju baru, baju yang masih berbau wangi,
Engkau tetap menjahit baju baru, semata-mata menunggu kupulang,
Jiran menyifatkan anakmu ini jahil, engkau membelaku seperti ku disisi,
Jiran memaki anakmu ini, engkau menafikan semua itu,
Semuanya kerana aku anakmu, yang tidak pernah pulang menjenguk ibu,
Tapi kau pertahankan aku, seperti aku sedang memeluk anggotamu.

Aku tersedar dari bayangan, ingati semula kayangan indah,
Sinaran wajahmu terangi malam, harum mewangi kelilingi mahligai,
Bulan purnama kembali suram, menambah luka terulit duka,
Aku ingati kesalahanku, aku sesal perbuatanku, menjauhi ibu mendekati nafsu,
Sudah lama tidak mendengar suara ibu, suara yang mengejutkan aku,
Suara yang memujukku, suara yang pernah bersyair sebelum tidurku,
Sudah lama aku tidak melihat ibu, dari remaja hingga bekerja,
Apakah ibu sihat, atau ibu sebaliknya.

Perasaan hiba menemani aku, dalam perjalanan pulang menuju ibu,
Tidak terasa perlahan atau laju, juga pandu ataupun tidak,
Segalanya kerana ku merindui ibu,
Aku mula mencari halaman di situlah kenangan bersama ibu,
Terpandang kiri dan kanan, aku dikelilingi ingatan lalu,
Sawah itu kuditemani ibu, pohon itu kuditemani ibu,
Sungai itu kuditemani ibu, tiada tempat lain yang tiada ibu,
Ibu benar-benar menyayangi diriku.

Oh, ibu!!!!
Aku sudah sampai ke mahligaimu, mahligai yang pernah kubersemayam di dalamnya,
Mahligai yang meninggalkan seribu kenangan silam, kenangan manja, kenangan pahit,
Kenangan manis, kenangan yang terindah dalam kehidupan,
Tapi mengapa? Mengapa ramai yang mengunjungi ibu? Adakah ada kenduri di sini?
Ataupun ibu ingin menyambut kepulanganku mungkin ibu gembira aku sudah pulang,
Aku dekati muka pintu, tapi aku berasa hairan, mengapa terlalu ramai?
Mengapa ada bulatan manusia? Mengapa ada bacaan Yaasin? Apakah semua ini?
Apa yang sedang berlaku? Dimanakah ibu?

Kakiku melonjak tiga langkah, mataku tertumpu satu jasad, hidungku terbau kasturi mewangi,
Telingaku terdengar ayat-ayat Yaasin,lisanku terdiam wajahku pucat,
Apa benarkah yang aku lihat? Harapku bukan pada saat ini,
Harapku bukan sekarang, mengapa saat kupulang ini yang terjadi?
Satu jasad tidak bernyawa, dibaluti kafan putih, dikelilingi insan tidak dikenali,
Apakah ibu sudah mati? Apakah ibu tinggalkan aku kini?
Apakah ibu tidak berjumpa lagi? Insan mulia penuh budi.

Ibu mengapa kau tinggalkan aku? Apakah engkau sudah tidak sudi melihat diriku?
Apakah engkau sudah tidak sudi mendengar suaraku?
Apakah engkau sudah tidak sudi membelai tanganku?
Apakah engkau sudak tidak sudi mengucapkan sayang padaku?
Ibu, jawablah soalanku.



Ibu..
Kini aku sedar akan kasihmu padaku,
Perit hatimu menunggu kupulang, hampir lapan belas tahun ku tinggalkan dirimu,
Tapi aku tidak berdaya, menahan peritnya hatiku menunggu kepulanganmu,
Padahal baru satu purnama kau meninggalkan aku, membiarkan diriku belayar sendirian.

Ibu..
Aku rindu suapan air tanganmu, aku rindu usapan dikepalaku,
Aku rindu suara lunakmu di awal pagi, aku rindu lirikkan senyumanmu,

Ibu..
Ketika kecil aku sering menyusahkanmu,
Aku minta mainan, kau carikan untukku,
Aku minta pakaian, kau carikan untukku,
Aku minta makanan, kau carikan untukku,
Aku minta kasihan, kau berikan padaku,
Aku mintakasih sayang, kau berikan padaku,
Berjuta perkara aku minta padamu,
Tetapi aku lupa bahawa engkau juga meminta kepadaku,
Bukan sepuluh, bukan seribu,
Tapi Cuma satu.. iaitu kejayaan.

Ibu..
Dulu kau melahirkan aku, kau menyusui aku, kau membelaiku,
Kau mengusap dahiku, kau mendidik aku, segalanya terbayang di langit biru,
Kotak cintaku terbang, terbang kesyurga mencari ibu,
Cintaku menyentuh tanganmu ibu, tangan itulah yang membelai diriku,
Cintaku menyentuh lembut bibirmu, bibir itulah yang mencium pipiku,
Cintaku menyentuh kelopak matamu, mata itulah yang menusuk kalbuku,
Cintaku menyentuh sekeping hatimu, hati itulah penawar kehidupanku.


Ibu..
Inilah warkah terakhir buatmu,
Inilah risalah terakhir buatmu,
Inilah surat cinta terakhir untukmu,
Akan kusemadikan warkah ini dalam diari silamku.

Ibu.. maafkan aku..

Renung-Renungkan...


Tika ini, konsep halal dan haram dalam Islam tidak lagi menjadi pegangan bagi
setiap muslimin dan muslimat. Anak-anak muda berlainan jantina kelihatan
sering berdua-duaan. Langsung tidak ada perasaan malu atau terfikirkan salah atau
tidak tindakan mereka berdua-duaan, padahal dalam berdua-duaan pasti ada orang yang
ketiga. Bagi mereka mungkin tindakan mereka tidak salah kerana masih berada di khalayak ramai dan di tempat terbuka.
Namun, sejauh manakah peranan orang ketiga bila berdua-duaan dengan lamanya di suatu tempat walaupun di kawasan terbuka?

Inilah masalah yang melanda golongan belia kini. Pendidikan Islam yang
diajarkan semasa di alam persekolahan hanya diingat semasa hendak peperiksaan, setelah
itu, pelajaran tersebut dilupakan dan tidak dikaji lebih mendalam, maka di
sini wujudlah pelbagai dosa kecil dan besar di kalangan belia. Pemahaman mereka
bahawa berdua-duaan tanpa berpegangan tangan atau berpeluk cium masih dikira
perbuatan yang tidak salah dari segi agama. Padahal detik pertemuan dan
meluahkan perbualan yang mengundang perasaan cinta dan rindu itu merupakan
satu zina. Malangnya, ramai belia yang tidak faham, dan ada juga segelintir yang tahu
tetapi buat-buat tidak tahu. Yang lebih sedihnya bila ada daripada golongan
belia ini yang ibu atau ayahnya adalah ustazah atau ustaz. Kalau mak atau ayah
yang ustaz atau ustazah dapat menyampaikan ceramah agama atau dakwah kepada
orang lain, kenapa anak-anak masih dibiarkan bergelumang dengan dosa?

Pernah satu ketika dulu saya menegurkan mak saudara saya (kebetulan beliau
adalah penceramah agama jemputan dan mempunyai pendidikan agama di Indonesia)
kerana membiarkan anak gadisnya keluar dengan teman lelakinya, kita tidak tahu
apa yang berlaku, cuma berniat untuk mengelakkan daripada sama bersubahat.
Malangnya, jawapan yang saya perolehi adalah " Mereka tidak pergi mana pun, di
sekolah juga". Tersentak saya dengan pernyataan mak saudara saya yang juga
merupakan seorang ustazah. Sepatutnya beliau menegurkan tingkah laku anak
gadisnya dan menasihati anak gadisnya tentang pergaulan berlainan jantina.
Ekoran daripada sikap mak saudara saya itu, akhirnya anak gadisnya telah
menconteng arang dimukanya sendiri.Selepas hal tersebut mak saudara saya
berasa amat malu untuk bersemuka dengan saya.

Saya berasa amat sedih dengan muslimah khususnya pada masa kini. Teringat
sewaktu saya masih menuntut di IPTA, setiap cuti semester, ramai pelajar akan
berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing. Di kala inilah, perhatian saya
sering tertumpu pada pasangan kekasih, di mana sebelum berpisah si wanita akan
mencium tangan si lelaki dan si lelaki akan menghadiakan pula ciuman di dahi
siwanita. Perbuatan tersebut ternyata salah, tetapi dibetulkan oleh mereka.
Tanpa segan silu akan berpelukan pula di khalayak ramai, sungguh memilukan. Semakin
runtuhnya akhlak muda-mudi Islam pada masa kini. Kerana kurangnya pengetahuan
tentang agama, kerana kurangnya pengetahuan tentang halal dan haram, maka
semakin runtuhlah akhlak muda-mudi Islam. Kadang kala saya berasa sedih dan
tidak terdaya untuk menegurkan tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku di
depan mata. Saya hanya mampu beristighfar dan membayangkan bagaimanakah akhlak
muda-mudi pada masa akan datang? Adakah semakin pulih? Atau ianya akan menjadi
semakin teruk? Sama-samalah kita renungkan dan banyakkanlah bermuhasabah diri.

Tuesday, September 28, 2010

Teguran Itu Penting

Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh



Jerash, Jordan



Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.



Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.



Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".



Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?.



Yang Paling Penting

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

hidup adalah adlh satu Perjuangan dan Pengorbanan

http://k12online.wikispaces.com/space/showimage/WhenNightFalls.jpg


Malam Pertama Itu Indah dan Asyik?

Apabila menyebut malam pertama, pasti semua orang akan terbayang satu malam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Nikmat duniawi yang tiada tara! Ya, satu malam di mana pasangan pengantin baru yang sah bergelar suami isteri setelah diijab qabulkan akan bersatu, beradu serta berpadu zahir dan batin. Malam penuh bahagia!Persepsi malam pertama yang sering berlegar-legar di ruang minda ialah malam tersebut pastinya merupakan satu malam yang segalanya adalah menyeronokkan, indah-indah, asyik-asyik dan nikmat-nikmat belaka!

Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ianya bukanlah malam pertama perkahwinan?

Malam inilah yang menjadi isi kandungan email tersebut. Malam itu ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?

http://i135.photobucket.com/albums/q147/acaii/kubur4.jpg


Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?


Mati

“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”
Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!




Air Mata Keinsafan


“Last Breath..”

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”

Kewajipan

Justeru, bersamalah kita fikirkan MALAM PERTAMA ini dengan mata hati.. Semoga cahaya kesedaran bersarang di hati kita dan nur keinsafan melimpahi jiwa-jiwa kita. Semoga kita semua terlepas dari ‘azab kubur dan beroleh nikmat SyurgaNya di Akhirat kelak. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Erti Bersahabat

Dalam dunia ini,

Kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.

Tetapi dalam kita bersendiri,

Kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.



Tetapi kita sering terlupa akan hal itu.

Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita.

Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya.

Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, Itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti..

Kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati.



Kita beri beribu alasan, memaksa dia menerima alasan kita.

Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??

Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa.. tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan,

Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.



Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita,

Hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya?

Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita?

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?

Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah?

Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita.



Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan,

Kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan Dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan.

Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka.

Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,

disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan,

kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

KOLeksI CerIta KlaKA

Chot....
KEMIK


Chot baru habis main bolasepak dan berjalan menuju ke kereta. Tiba di
keretanya, Chot dapati ada kesan kemik di sebelah pintu pemandu
keretanya
seperti terkena bolasepak.


Keesokkan harinya, Chot membawa kereta itu ke woksyop.. Mekanik di
woksyop
tu yang sememangnya tahu akan ke'bendul'an Chot, cuba nak mempermainkan
Chot. Dia memberitahu, sekiranya Chot meniup melalui lubang ekzos
keretanya itu... pintu yang kemik itu akan kembung kembali dan
keretanya
akan kelihatan seperti sediakala.


Maka, Chot pun pulang ke rumah dan mula meniup melalui lubang ekzos
keretanya itu. Tiada apa-apa yang berlaku. Chot meniup dengan lebih
kuat
lagi namun tetap juga tiada apa-apa yang berlaku.


Teman serumahnya, Chet... keluar dan bertanya, "Apa hang buat tu?" Chot
menjelaskan kepada Chet bagaimana mekanik di woksyop tadi telah
mengarahkannya untuk meniup melalui ekzos kereta supaya kemikan di
pintu
keretanya akan kembung semula.


Chet menggeleng-gelengka n kepala, ketawa berdekah-dekah sambil berkata,
"HELLLLO!! Awat la hang ni mangkuk sangat? Hang kena tutup semua cermin
tingkap kereta ni dulu!"





BUKU TEPON


Chot merempuh masuk ke satu perpustakaan awam dan meluru ke meja
pendaftaran.
"Saya nak buat aduan! Saya nak komplen!" jerkah Chot.
"Ada apa, encik?" tanya pustakawan bertugas.
"Saya ada pinjam satu buku cerita dari sini minggu lepas dan ianya
sungguh
mendukacitakan! " kata Chot.
"Apa masalahnya?" tanya pustakawan itu lagi..
"Banyak sangat watak dalam buku cerita tu dan saya tak paham langsung
apa
yang cuba buku tu kisahkan. Tak ada jalan cerita langsung!"


Pustakawan tersebut berkata, "Ahh... jadi, encik ni la yang ambil buku
panduan telepon kami yang dah hilang dekat seminggu tu!"

CERITA1

Satu hari Chot terbangun mlm. Dia nak terkencing. Dia pun
masuk bilik air.
Chot sungguh terkezut bila lampu tu terbuka sendiri. Lepas
kencing dia pun
terus keluar dan dia tutup pintu toilet… Sekali lagi dia
terkejut bila lampu
toilet tu tertutup sendiri…Cepat-cepat dia kejut kan bini
dia yang tengah
lena tidur. Dia pun menceritakan hal yg terjadi kat toilet
tadi...lampu tu
terbukak dan padam sendiri. Bini Chot yang dalam keadaan
sedar tak sedar tu
pun berkata.. "Dah… dia buat dah perangai lama…
Awat hang kencin dlm peti
ais…???





MASA


Chot: "Chet, skrang dah pukui brapa?"
Chet: "3:15 petang."
Chot: (dgn mimik muka kehairanan) "Aku pelik lar, awat sumer orang nak
menipu dengan aku ari nih?"
Chet: "Awat lak? Bila lak aku tipu hang?"
Chot: "Sepanjang ari aku dok tanya masa kat orang, dan sepanjang ari
jugak
la aku dapat jawapan yang berbeza. Tak dak sorang pun yang bagi jawapan
yang sama...."
Chot tengok wayang

Chot nak pegi tengok wayang kat panggung dgn isterinya. Sampai di kaunter
tiket, Chot beli dua tiket utk dirinya dan isterinya. Tak lama kemudian, Chot
datang semula ke kaunter tiket tadi dan membeli dua lagi tiket...

Kemudian, Chot datang lagi sekali untuk membeli dua lagi tiket. Kali ini penjual tiket
itu membuka sedikit cermin kaca di kaunternya dan bertanya, "Bukan ke encik
dah membeli dua tiket dan kemudian datang lagi untuk membeli dua lagi tiket tadi?"
Chot menjawab,

"Betul! Tapi ader sorang mangkuk hayun yang berdiri kat depan pintu masuk
panggung tu asyik koyakkan tiket saya ajer..."

PART I

Cikgu Nasyor sedang mengendali kelasnya dalam aktiviti sukan di padang sekolah. Seperti biasa, Cikgu Nasyor akan menyuruh murid²nya melakukan regangan otot. Tiba di satu bahagian, dimana murid² baring dan mengangkat kaki lalu menggerakkannya seperti sedang mengayuh basikal. Cikgu Nasyor asyik memerhati seorang muridnya yang pada mulanya menggerakkan kakinya tiba² memberhentikan kakinya. Lalu Cikgu Nasyor menyergah muridnya yang bernama Mat.

Cikgu Nasyor: "Woiiii Mat, apa sebab kau berhenti ni hah"

Mat : "Oh Cikgu Nasyor, basikal saya tengah turun bukit Cikgu, sebab tu saya berhenti.Takkan nak kayuh jugak."

PART II

Waktu sekolah telah tamat. Sebelum keluar kelas, Cikgu Nasyor telah bertanya kpd murid²nya.

Cikgu : Siapa nak masuk/pergi syurga?

Semua murid mengangkat tangan kecuali Mat lalu Cikgu Nasyor pun bertanya,

Cikgu : Mat, kenapa awak tak nak pergi/masuk syurga?

Mat : Mak saya kata lepas habis sekolah, terus balik rumah..jangan pergi mana-mana.

PART III

Cikgu Nasyor sedang mengajar Bahasa Melayu dalam kelas 1 Mawar...

Cikgu : Mat, boleh kamu buat ayat dengan menggunakan perkataan tepong?

Mat : Itu senang saja cikgu.. ayatnya ialah.... emak sedang membuat kek di dapur.

Cikgu : Mana tepungnya??

Man : Tepung kan ke dalam kek tu.... Cikgu nie tak sekolah ke hape??

PART V

Cikgu Nasyor : Joe, cuba terangkan apakah tugas akar pokok pisang?

Joe : Untuk mencari makanan, cikgu

Cikgu Nasyor : Bagus! Sekarang giliran Wati pulak. Apakah tugas batang pokok pisang?

Wati : Untuk membawa makanan yang dicari akarnya, cikgu.

Cikgu Nasyor : Bagus! Sekarang giliran Mat pula. Apakah tugas daun pisang?

Mat :untuk membungkus nasi lemak, cikgu...

Cikgu Nasyor : uii... lagi bagus.... berdiri atas meja sampai habis kelas..

...Bakal AyaH...

4 orang bakal ayah sedang menunggu di bilik menunggu di
Hospital sementara
isteri masing-masing sedang berjuang untuk melahirkan anak.

Kemudian keluar nurse dan memberitahu kepada ayah pertama,
"Tahniah, kamu
sekarang telah menjadi ayah kepada kembar dua!"

"Mungkin satu kebetulan" kata ayah pertama.
" Saya bekerja di Twin Star
Enterprised"

Kemudian keluar pula nurse lain dan memberitahu kepada ayah
kedua, "Tahniah!
awak mendapat anak kembar tiga!"

"Wooow!, mungkin satu kebetulan" jawab ayah
kedua."Saya kerja di 3M
Corporation"

Keluar pulak nurse lain dan memberitahu ayah ke
ketiga,"Congratulation!
isteri you dapat kembar empat,"

"Alhamdulillah! Mungkin juga satu kebetulan".
Saya kerja di Four Season
Hotel!"

Pada masa ini ayah yang ke empat kelihatan amat tidak
menentu dan gelisah.

Kesemua ayah-ayah yang menunggu pun bertanya, "kenapa
risau sangat??"

Jawab ayah keempat,"Saya bekerja di Seven-eleven"

Atan

Satu hari, Atan dan Mael pergiberburudipinggir hutan.Malangnya belum sempat dapat habuan, Maelditerkam pakbelang.Atan yg terkenal kerana kelam kabutnya terus berlarike balaipolis

Atan: sss..sssee..selamat pagi tuan..

Polis:selamat pagi..apa hal tercungap2 ni.

Atan:ssa...saayyaa nak buat report tuan..

Polis:report pasal apa?

Atan:pasal kawan saya dibaham harimau

Polis:ha! dibaham harimau? pukul berapa?

Atan:tak..dia tak dipukul..dia diterkam..

Polis:habis..?

Atan:tak habis tuan,tinggal kepala...


Heh2... Dah abeh.. Hope trhibur ler ye...

untuk mu muslimah

Ibnu Umar radhiallahu anhumma telah melaporkan bahawa Nabi saw pernah bersabda,”Wahai kaum wanita! Kamu(teristimewanya) bayarlah sedekah dan banyak bertaubat, kerana daku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.”

Salah seorang daripada pendengar berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah kesalahan kami yang kebanyakan daripada kami akan memasuki neraka?”

Nabi saw. menjawab,”Kami paling kerap mempunyai tabiat melaknat(semasa perbualan) dan kamu lebih tidak bersyukur kepada suami kamu. Daku tidak melihat seseorang yang kekurangan dalam ketakwaan dan hikmah seperti kamu tetapi menguasai seorang yang berhikmah.”

(Bukhari, Muslim, Tarjumanus Sunnah) Hazrat Ibnu Mas’ud telah memberitakan bahawa nabi bersabda,”seseorang wanita patut ditutupi kerana apabila dia keluar, syaitan akan memandangnya,”(Tirmizi) Begitu juga, maka perlulah wanita menjaga suara supaya tidak didengari oleh orang luar. Adalah juga penting, lelaki menghindari dari melafazkan puisi di khalayak wanita lain oleh kerana wanita bersifat lembut hatinya dan mudah cenderung kepada pengaruh buruk.

(uswah rasool e akram) Hazrat Hasan Basari ra. memberitahu bahawa dia telah mendengar Rasulullah saw bersabda,”Allah melaknati orang yang memandang kepada seseorang wanita asing dan juga seseorang yang dipandang itu.”

(mishkat) Hazrat Abu Musa ra. Telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda,”mata yang memandang kepada seseorang lelaki atau wanita asing dengan niat buruk adalah penzinaan dan seseorang wanita yang mewangikan dirinya dan kemudiannya lalu di hadapan khalayak lelaki adalah tiada bezanya.

(tirmizi, abu daud) Hazrat Ibnu Mulaika ra memberitahu bahawa apabila seseorang menyatakan kepada Hazrat Aisyah bahawa seorang wanita sedang memakai sandal(kasut lelaki) maka dia menjawab bahawa Rasulullah melaknati wanita yang bersifat kelakian (abu daud) Adalah sunnah bagi wanita mengucap salam dan selamat antara satu sama lain dan berjabat tangan. Ini patut digalakkan.(tabrani, baihaqi)

Nota: antara sesama wanita sahaja. Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi telah memberitakan dari Ash Shabi bahawa nabi bersabda,”laknatlah kepada penyanyi-penyanyi perempuan dan kepada sesiapa yang mereka nyanyikan,”

sopan

Monday, September 27, 2010

Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadhan 1.1.flv

Thursday, September 23, 2010

Layakkah Aku?


Aku manusia biasa
Penuh sifat mazmumah yang membelenggui diri
Dendam, marah, putus asa dan kecewa
Bukan itu yang aku impikan

Tapi aku ingat
Aku sememangnya tak layak
Untuk berkata dendam dan kecewa
Kenapa?

Aku kecewa
Untuk apa aku katakan aku kecewa?
Sedangkan usaha belom lagi aku lakukan
Imbas kembali detik kekasih Allah
Kembangkan syiar islam
Penuh onak dan duri
Dicaci dan dimaki sesuka hati
Tanpa rasa kecewa
Diajarkan jua umat manusia
Mencari hakikat ketuhanan yang Maha Esa
Agar berbahagia dunia dan akhirat
Untuk itu
Layakkah diriku ungkap kata 'kecewa'?

Dendam
Untuk apa aku berdendam
Hanya dek hati terguris
Oleh kata-kata yang menyakitkan
Atau perbuatannya yang kalampauan
Oh! Rugilah aku
Sedangkan Rasulullah
Hanya memaafkan umatnya
Lagi mendoakan
Mulia sungguh budi pekertinya
Tanpa perasaan dendam
Kepada sesiapa
Oh! Siapakah aku
Untuk berdendam?

Marah?
Lupakah aku pada hadith Rasulullah?
Daripada Abu Hurairah ra
Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Bukanlah seorang yang kuat itu,ialah orang yang kuat bergusti (tenaganya),
Tetapi, orang yang kuat itu
ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah
Tapi
Mengapa ia masih membelenggu diri
Bagaikan ada tali yang mengikatnya
Oh Tuhan
Syaitankah itu?
Ampuniku Ya Allah
Lindungilah diriku dari musuh-Mu

Oh Tuhanku
Aku hanya manusia biasa
Yang hina lagi dina
Yang penuh dosa kemaksiatan
Ampunilah aku
Permudahkan lah jalan-Mu
Bagiku juga umat manusia
Kejalan keredhaan-Mu

Wednesday, September 22, 2010

Cuba Untuk Berubah





Saat mata kubuka perlahan
Syukur aku masih diberi hidup
Ruang untuk bernafas
Di muka bumi-Mu Ya Allah

Lantas kutitipkan wudhu’
Melangkah sujud pada-Nya
Hanya kepada Engkaulah kami sembah
Dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan

Kuhadapkan wajah menuju kiblatku
Tangan kutadah menyeru namaMu
Ya Allah Ya 1Ghaffar
Ampunkanlah daku
Sesungguhnya hamba-Mu ini tidak pernah terlepas dari melakukan dosa
Sering lalai dan leka
Dengan muslihat duniawi yang tidak ke mana



Terasa air jernih menitis hiba
Mengenangkan kerdilnya diriku di sisi-Nya
Sesungguhnya
Dia yang Maha 2Rauf
Tiada walau sedetik melupai aku
Dia yang Maha 3Tawwab
Menerima taubat
Sekalian hamba-Nya
Sebelum Israfil meniup sangkakala

Hati ini… jiwa ini…
Masih lagi merintih
Lagaknya seperti bayi jerih bertatih
Resah nuraniku penuh persoalan
Yang aku sendiri tiada jawapan

Ya 4Dzul-Jalali
Apa aku bisa menjadi hamba-Mu
Yang lisannya setiap saat basah dengan zikrullah?
Apa aku bisa menjadi umat pesuruh-Mu
Yang senantiasa hidup dengan sunnah Muhammad Rasulullah?
Dan apakah aku bisa menjadi seorang Mukmin
Yang beramal dengan kitab-Mu seluruh hidupku?

Ya Allah
Ya Rahman Ya Rahim
Sesungguhnya aku tidak layak untuk syurga-Mu
Namun tidak pula sanggup ke neraka-Mu
Ampunkan dosaku
Terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Ya Allah Ya Rabbi
Pancarkanlah nur-Mu ke dalam hidupku
Biarkan 5halawatul iman itu meresapi kalbu
Kirimkanlah taufik dan hidayah-Mu untukku
Agar aku bisa berdiri teguh disirat-Mu

Sesungguhnya ibadatku, hidupku dan matiku
Hanya untuk-Mu Ya Allah
Di sini…
Di kiblat ini…
Aku cuba untuk berubah…

Tuesday, September 21, 2010

10 Hal Yang Mendatangkan Cinta Allah


Saudaraku, sungguh setiap orang pasti ingin mendapatkan cinta Allah. Namun bagaimanakah cara untuk mendapatkan cinta tersebut? Ibnul Qayyim Rahimahullah menyebutkan beberapa hal untuk menerangkan maksud perkara tersebut dalam kitab beliau Madarijus Salikin , tahap-tahap menuju wahana cinta kepada Allah adalah seperti berikut:


1) Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.

Itu tidak lain adalah renungan seorang hamba Allah yang hafal dan mampu menjelaskan al-Qur’an agar difahami maksudnya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Al-Qur’an merupakan kemuliaan bagi manusia yang tidak boleh ditandingi dengan kemuliaan apapun. Ibnu Sholah mengatakan

“Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas makhluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”.

Perkara ini boleh dilakukan umpama seseorang memahami sebuah buku iaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. (Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an)


2)Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat, setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib.

Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunat, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, sedekah sunat dan amalan-amalan sunat dalam haji dan umrah.

3)T
erus-menerus mengingat Allah (zikir) dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya.

Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah bergantung kepada kadar zikirnya kepada-Nya. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.

Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan zikir kepada-Nya.


4)Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya.

Melebihkan cinta kepada Allah daripada cinta kepada diri sendiri, meskipun dibayangi oleh hawa nafsu yang selalu mengajak lebih mencintai diri sendiri. Ertinya ia rela mencintai Allah meskipun berisiko tidak dicintai oleh makhluk dan harus menempuh berbagai kesulitan. Inilah darjat para Nabi, diatas itu darjat para Rasul dan diatasnya lagi darjat para rasul Ulul Azmi, lalu yang paling tinggi adalah darjat Rasulullah Muhammad s.a.w. sebab baginda mampu melawan kehendak dunia seisinya demi cintanya kepada Allah.

5)Merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah.

Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh karena itu, mu’athilah, fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut).

6)Memerhatikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir mahupun batin akan mengantarkan kita kepada cinta hakiki kepada-Nya.

Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah SWT. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan mengantarkan kepada rasa cinta yang mendalam kepadaNya.

7) Menghadirkan hati secara keseluruhan (total) semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut dengan khusyu’.

Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan solat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, akan mengantarkan kepada cinta Allah yang hakiki.

8)Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir.

Di saat itulah Allah SWT turun ke dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an) dan solat malam agar mendapatkan cinta Allah. Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.

9)Bergaul bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin.

Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahawa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.

10)Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dan Allah SWT.

Semoga kita sentiasa mendapatkan cinta Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap degup jantung dan setiap nafasnya.

Ibnul Qayyim mengatakan bahawa "kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...