www.iluvislam.com
Oleh : Mohd Hafizullah
Ciptaan Allah amatlah hebat. Semasa dalam perjalananku dari Kuala Nerang ke Alor Setar, aku melebarkan pandangan ke luar jendela. Aku melihat pokok dan tumbuh-tumbuhan lantas aku terfikir ;
" Apakah yang istimewanya pokok ini? "
Aku ingin menjadi seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan yang sanggup bersusah payah untuk kehidupan manusia dan makhluk lain. Aku juga ingin mencontohi sifat pokok yang tidak mementingkan diri dan sanggup berkorban untuk makhluk lain tanpa mengharapkan balasan apabila memberi walaupun sering disakiti.
Aku kagum apabila memikirkan keindahan ciptaan Allah. Aku kagum apabila berfikir tentang pokok. Pokok dan tumbuhan memerlukan Karbon Dioksida untuk menghasilkan Oksigen. Alangkah baiknya pokok yang sanggup menahan terik matahari untuk melengkapkan ‘ proses fotosintesis' dan sanggup berpanaskan matahari untuk menyediakan tempat berteduh dan berehat untuk makhluk lain. Pokok rela berkorban untuk makhluk lain.
" Tetapi manusia? "
" Sanggupkah kita berbuat demikian? "
Tabahnya pokok walaupun keseorangan namun tetap meneruskan hidupnya. Walaupun sering dilukai namun pokok tidak pula membalas dengan keburukkan bahkan dibalasnya dengan kebaikan. Pokok itu setia berdiri teguh di situ. Ingin aku contohi kesetiaan pokok itu.
Seringkali kita melihat manusia mencari pokok sebagai tempat berteduh daripada panas mentari kemudian apabila keadaan tidak panas lagi mereka akan beredar meninggalkan pokok itu keseorangan.
Begitulah sikap kita. Apabila kita memerlukan sesuatu maka kita akan mencari. Namun, apabila kita sudah memperolehi perkara yang kita inginkan kita akan meninggalkannya. Pokok pula sentiasa berada di situ apabila kita memerlukannya, sentiasa setia untuk menolong dan menemani kita walupun kita sering melupakannya dan sentiasa ada sewaktu kita memerlukannya.
Sebenarnya pokok itu mengingatkan kita kepada pencipta kita, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita mengetahui bahawa Allah sentiasa ada untuk yang mencari-Nya dan sentiasa membantu hamba-Nya. Apabila kita amati kejadian atau fenomena alam dan berfikir maka kita akan mennyedari tentang kewujudan Allah.
Ingin ku didik hati ku dengan sifat daripada sepohon pokok,
Ingin ku semaikan nilai-nilai murni yang dimiliki oleh sepohon pokok,
Ingin ku tabah seperti sepohon pokok,
Ingin ku mengadu kesedihanku kepada Allah,
Kerana Allah jua yang mempunyai kuasa ke atas hati manusia.
Ingin ku contohi sifat sepohon pokok,
Yang tidak menyimpan dendam dan benci,
Ingin ku balas kekejaman dengan kebaikan,
Tetapi mampukah aku untuk berbuat demikian.
Hatiku tidaklah setabah sepohon pokok,
Hatiku tidaklah semurni sepohon pokok,
Hatiku tidaklah seindah budi pekerti sepohon pokok.
Namun yang pasti,
Aku akan mencuba untuk mencontohi sifat sepohon pokok itu.
Ya Allah,
Ampunilah dosa kami,
Kedua ibu bapa kami,
Dan kaum muslimin sekalian,
Berkatilah kami.
Bukakanlah pintu hati kami ke jalan-Mu,
Ke jalan yang Engkau redhai,
Tetapkanlah hati kami,
Dengan kalam-Mu Al-Quran dan sunnah Rasul-Mu,
Kami bermohon padaMu,
Hanya Engkaulah tempat kami meminta dan mengadu.
Amin.
Permulaan Hijrah
3 years ago
0 comments:
Post a Comment