www.iluvislam.com
Dihantar oleh: nicemuslim
Editor: RosNiza Abdullah
Zinnirah, wanita yang tidak mempunyai degree, tidak terkenal, tidak mempunyai harta apatah lagi memiliki pangkat besar. Tetapi, Allah telah memberi penghormatan kepadanya kerana pengorbanannya yang begitu hebat.
Zinnirah, seorang wanita suci, mempunyai akidah yang begitu jitu di dalam jiwanya. Biarpun fizikalnya diseksa dengan berbagai kesakitan, penderitaan dan kesusahan tetapi hatinya tetap dengan Allah. Dia menerima penyeksaan itu dengan redha dan tenang walaupun seluruh tubuhnya hancur akibat pukulan demi pukulan, sepakan demi sepakan, hantukan demi hantukan.Tapi demi Islam, demi Allah, Zinnirah tidak akan menyerah kalah. Jiwa tauhid telah menebal di dalam dirinya, tidak ada satu pun yang memberi bekas melainkan Allahlah yang berkuasa. Sekalipun dilonggokkan emas sebesar gunung Uhud dia tdak akan menukarkan akidah yang telah bertunjang di hatinya.
Dia merupakan seorang wanita yang nampak lemah fizikalnya tapi sebenarnya dia mempunyai jiwa yang kuat. Biarpun ujian datang bertubi-tubi, bahkan penderitaan yang diterima itu sebenarnya mematangkan lagi jiwanya, menguatkan lagi akalnya dan menambahkan lagi keyakinan dan cintanya pada kesucian agama Islam.
Penderitaan yang diterimanya itu menambahkan lagi rasa cintanya pada Allah. Semakin banyak sujudnya, semakin deras air mata yang mengalir di pipinya. Itulah Zinnirah, wanita yang mendapat pimpinan dan kasih sayang Allah.
Menurut riwawat silam, Zinnirah adalah diantara orang yang awal memeluk Islam. Zinnirah menerima berbagai penderitaan, kecaman kata nista dan berbagai penindasan. Beliau yang berketurunan Rom telah ditawan dan dijual di Kota Mekah. Umar membelinya dengan harga yang murah dan kini menjadi hamba Umar sekaligus menjadi orang tawanan Umar.
Islam pada awalnya dijalankan di dalam keadaan sembunyi-sembunyi. Ketika itu, Rasulullah berdakwah hanya untuk kaum keluarganya. Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya sebab dia bimbang kalau-kalau diketahui Umar. Dia bersembahyang, membaca Quran, atau apa sahaja ibadahnya yang lain dilakukan ketika orang lain tiada di rumah atau di waktu tengah malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Maka di waktu itulah dia sujud pada Allah, membaca Quran dan bila tiba pada ayat tentang dahsyatnya api neraka, maka dia menangis hingga pengsan.
Rahsia yang cuba disembunyikan itu akhirnya diketahui musuh. Umar dengan perasaan bengis segera mendapatkan hambanya. Sebelum ini, Umar juga mengesyaki Zinnirah telah bertukar agama kerana telah dilihatnya banyak perubahan pada Zinnirah. Sebelum Umar memeluk agama Islam, beliau terkenal sebagai orang paling kejam, bengis, ganas, garang dan sebagainya.
Menurut sebuah riwayat Umar telah menyeksa 11 orang hambanya kerana memeluk agama Islam. Umar juga telah membunuh anaknya sendiri kerana benci dan merasa rendah diri mendapat anak perempuan. Tetapi apabila beliau telah memeluk Islam, segala sifat buruknya telah ditukar dengan sifat-sifat terpuji.
Zinnirah telah ditampar, ditendang, diikat kedua belah kaki dan tangan dan dijemur di tengah panas mentari. Tetapi, semua itu tidak sedikit pun memberi bekas di hati Zinnirah. Bibirnya yang merekah kerana lapar dan dahaga itu masih mampu menguntum senyuman, hatinya tidak putus-putus mengucapkan: "Allah...Allah...Allah...Allahu Akbar, Allahlah Yang Maha Besar." Dan hatinya berbisik, "Ini untukMu ,Wahai Tuhan, aku membeli kesusahan untuk kesenangan di akhirat kelak.
Perjuangan ini memang berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapatkan syurga terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu ribuan nikmat." Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya telah dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangannya. Hatinya berbisik lagi: "Tuhan, walaupun aku dibunuh sekalipun aku rela daripada menjual agamaMu ini Tuhan, makin aku diuji makin terasa kehebatan, keagunganMu Tuhan. Cuma satu sahaja permintaanku berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini." Dia tetap sabar walaupun buta melihat alam maya tetapi hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam.
Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana laknat Tuhan mereka, Latta dan Uzza. Zinnirah menolak penghinaan itu dan baginya Latta dan Uzza sedikitpun tidak ada kena mengena.
Zinnirah cuba meyakinkan mereka bahawa buta ini datangnya dari Allah dan Allahlah yang berkuasa untuk mengembalikan pancainderanya seperti biasa. Orang-orang Quraisy mencabar Zinnirah kerana mempertahankan dirinya. Zinnirah dengan yakin tetap mengatakan Allah sebenarnya menentukan dia buta hasil perbuatan Umar. Maka turunlah ayat Quran yang memuji sikap Zinnirah itu yang disampaikan melalui Rasulullah.
Umar berhenti menyeksa kerana bosan dengan ketabahan hatinya, walaupun diseksa dengan berbagai rupa tapi keyakinannya tidak sedikit pun berubah. Malah semakin kuat penyeksaan yang dilakukan semakin kuat pautan hatinya pada Allah. Allah memberi karamah kepadanya, mata yang buta telah diganti dengan mata yang lebih baik. Dia dapat melihat seperti biasa, lebih terang dari matanya yang asal. Bahkan sinaran matanya menyilau pandangan orang-orang Quraisy. Begitulah pertolongan Allah kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya.
Saidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga yang tinggi. Akhirnya selamatlah dia dari penindasan orang-orang kafir.
Hatinya dipimpin oleh Allah, setiap tutur katanya, perbuatannya bahkan tingkah lakunya adalah benar-benar terpimpin. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperoleh oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.
Sumber: Dipetik daripada Buku Peribadi Wanita Salafussoleh
Permulaan Hijrah
3 years ago
0 comments:
Post a Comment