Thursday, July 2, 2009

Permata Ayan Bonda


Sabda Nabi saw:

"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi.”

Kita sering diingatkan tentang tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Soal dosa dan pahala, perintah dan larangan kerap menjadi fokus utama tazkirah-tazkirah dan usrah-usrah mingguan. Lebih-lebih lagi setelah tiba di Amerika. Soal akidah, soal aurat, makanan dan batas pergaulan menjadi topik mingguan. Tidak kurang juga soal ibadah dan fiqh. Namun, sebagai pelajar apa pula tanggungjawab kita terhadap ibu bapa? Apabila jasad meninggalkan kampung halaman, adakah bermakna tidak perlu lagi ada rasa tanggungjawab kepada yang ditinggalkan? Bukankah disamping rezeki Allah, ibubapa yang telah bersusah-payah mendidik, menyara dan mengasuh kita hingga kita berjaya pada hari ini? Daripada mula mengenal kalimah alif, ba’ dan ta’ kita diajar membaca Al-Fatihah. Daripada lidah teragak-agak mengenal ABC kita kini petah berkata-kata. Bukankah redha Allah juga terletak pada redha ibubapa? Sabda Rasulullah (saw);

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa.” (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Sejak kecil jika dihitung, terlalu banyak jasa dan pengorbanan ibu dan ayah. Wang ringgit yang dihabiskan, setiap titik peluh mencari rezeki dan setiap titis air mata menahan kerenah anak-anak. Begitu besarnya jasa dan pengorbanan mereka hanya untuk melihat anak-anak tersayang - kita, berjaya pada hari ini. Terukir senyuman, hilang rasa penat melihat anak berjaya. Namun, terbalaskah jasa mereka?

Apabila melihat cara hidup remaja pada masa kini, hati selalu tertanya - penat ibu ayah menghantar anak belajar ilmu agama tetapi apabila melihat kepada kurangnya pengamalan, bermakna sia-siakah usaha mereka? Banyak wang dihabiskan membeli buku ilmiah untuk anak-anak, niat mereka untuk menanam cinta terhadap ilmu dalam diri anak-anak tetapi akhirnya apabila telah dewasa, majalah-majalah hiburan menjadi pilihan dan koleksi peribadi si anak. Sudah besar panjang katanya, tahulah menilai keputusan sendiri. Susah payah ibu ayah menghantar anak belajar mengaji, risau anaknya tidak fasih membaca Quran dan mahu anaknya lancar dalam bacaan dalam solat tetapi akhirnya apabila dewasa, Al-Quran jarang sekali dibelek dan solat seringkali diletak keutamaannya dibawah rutin harian yang lain. Terbalaskan jasa mereka? Berbaloikah masa dan wang yang dihabiskan? Setiap hari mereka bersusah-payah mencari rezeki hanya untuk menyara pendidikan anak-anak dan memastikan si anak mendapat yang terbaik untuk masa depannya. Siang bekerja, malam melayan kerenah anak. Namun, adakah usaha mereka dihargai? Perhargaan bukan bermakna bayaran dengan wang ringgit. Wang ringgit boleh di cari tetapi anak yang soleh, mudahkah diperolehi?

Daripada segi akidah dan akhlak pula, mungkin tampak tidak begitu jelas tanggungjawab anak dalam menjaga akidah mereka demi keluarga. Sudah mumaiyyiz kononnya. Sudah boleh membezakan yang baik dan buruk. Kalau buruk pandai-pandailah diri sendiri menanggung akibatnya. Lupakah kita bagaimana ibu ayah berusaha membentuk peribadi anak-anaknya? Sewaktu masih di dalam kandungan, pelbagai surah dibaca ibu semoga anak di dalam kandungan lahir soleh dan solehah. Setelah lahir ke dunia, teruji kesabaran ibu ayah menahan telatah anak. Sehingga meningkat remaja, akhlak dibentuk; yang silap dibetulkan, yang elok digalakkan. Tidak pasti berapa banyak air mata menitis dalam diam menahan perangai anak-anak; “Budak ini masih kecil, perlu dibimbing dan dibentuk”. Rancangan televisyen yang ditonton ditapis. Penggunaan internet di ‘monitor’. Baik buruk dengan jelas dibezakan. Disemai dalam jiwa anak rasa tanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya di dunia ini, kerana segala yang dilakukan oleh manusia akan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Semua dilakukan dengan harapan melekat terus di dalam jiwa anak hingga dewasa. Akhirnya, berbaloikah usaha mereka? Berbaloikah?!

Hampir 20 tahun hidup bersama ibu ayah, bagaimana seorang pelajar dengan mudah boleh melepaskan tanggungjawab sbg seorang anak? Sakitnya ibu melahirkan, balaslah dengan berusaha menjaga peribadi. Benar, dugaan dunia memang mengasyikkan. Berusahalah mengawal pandangan, pertuturan dan perlakuan. Penatnya ayah menjadi rezeki. Jadikanlah ia sebagai motivasi untuk tidak membelanjakan wang membeli majalah hiburan, ke panggung-panggung wayang dan membeli dvd yang kurang sesuai kandungannya untuk tontonan. Letih ibu ayah mendidik peribadi, balaslah dengan menjaga dan memperbaiki akhlak. Ingatlah, akhlak seseorang seringkali dikaitkan dengan didikan yang diterima. Jadi, buktikanlah wang ringgit dan tenaga yang dilaburkan berbaloi dengan mengawal akidah dan peribadi. Susahkah?

Hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin ‘Al-‘Ash, beliau berkata yang maksudnya :

“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa menyukakan keduanya ibubapanya, sesungguhnya bererti dia menyukakan Allah, dan barangsiapa membuat ibu bapanya marah, sesungguhnya bererti dia berbuat Allah marah." (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" (Al-Mukminun:115)

Beruntunglah ibu bapa jika mendapat anak seperti 10 adik-beradik Datuk Prof Harun Din (mengikut apa yang ana baca) yang mengetuai sendiri urusan menyempurnakan jenazah ibu mereka. Dan mereka juga yang bergilir-gilir membaca al-Quran hingga khatam untuk disedekahkan kepada roh ibu mereka. Bagaimana pula dengan kita? Mungkinkah suatu hari nanti ibu dan ayah berbangga mempunyai kita sebagai anak? Mungkinkah suatu hari nanti mereka tersenyum puas melihat hasil didikan mereka berjaya? Bukan hanya berjaya di dunia, namun memberi manfaat kepada mereka di akhirat kelak.

Sabda Nabi (saw)i: "Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang soleh yang mendoakan."

Marilah kita muhasabah diri. Kenangkan dosa kita kepada ibu bapa kita. Kerana kita menghisap darahnya, tenaganya, airmatanya, keringatnya. Beristighfarlah.

Semoga kita termasuk dalam golongan anak-anak yang soleh. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...