Wednesday, September 29, 2010

Renung-Renungkan...


Tika ini, konsep halal dan haram dalam Islam tidak lagi menjadi pegangan bagi
setiap muslimin dan muslimat. Anak-anak muda berlainan jantina kelihatan
sering berdua-duaan. Langsung tidak ada perasaan malu atau terfikirkan salah atau
tidak tindakan mereka berdua-duaan, padahal dalam berdua-duaan pasti ada orang yang
ketiga. Bagi mereka mungkin tindakan mereka tidak salah kerana masih berada di khalayak ramai dan di tempat terbuka.
Namun, sejauh manakah peranan orang ketiga bila berdua-duaan dengan lamanya di suatu tempat walaupun di kawasan terbuka?

Inilah masalah yang melanda golongan belia kini. Pendidikan Islam yang
diajarkan semasa di alam persekolahan hanya diingat semasa hendak peperiksaan, setelah
itu, pelajaran tersebut dilupakan dan tidak dikaji lebih mendalam, maka di
sini wujudlah pelbagai dosa kecil dan besar di kalangan belia. Pemahaman mereka
bahawa berdua-duaan tanpa berpegangan tangan atau berpeluk cium masih dikira
perbuatan yang tidak salah dari segi agama. Padahal detik pertemuan dan
meluahkan perbualan yang mengundang perasaan cinta dan rindu itu merupakan
satu zina. Malangnya, ramai belia yang tidak faham, dan ada juga segelintir yang tahu
tetapi buat-buat tidak tahu. Yang lebih sedihnya bila ada daripada golongan
belia ini yang ibu atau ayahnya adalah ustazah atau ustaz. Kalau mak atau ayah
yang ustaz atau ustazah dapat menyampaikan ceramah agama atau dakwah kepada
orang lain, kenapa anak-anak masih dibiarkan bergelumang dengan dosa?

Pernah satu ketika dulu saya menegurkan mak saudara saya (kebetulan beliau
adalah penceramah agama jemputan dan mempunyai pendidikan agama di Indonesia)
kerana membiarkan anak gadisnya keluar dengan teman lelakinya, kita tidak tahu
apa yang berlaku, cuma berniat untuk mengelakkan daripada sama bersubahat.
Malangnya, jawapan yang saya perolehi adalah " Mereka tidak pergi mana pun, di
sekolah juga". Tersentak saya dengan pernyataan mak saudara saya yang juga
merupakan seorang ustazah. Sepatutnya beliau menegurkan tingkah laku anak
gadisnya dan menasihati anak gadisnya tentang pergaulan berlainan jantina.
Ekoran daripada sikap mak saudara saya itu, akhirnya anak gadisnya telah
menconteng arang dimukanya sendiri.Selepas hal tersebut mak saudara saya
berasa amat malu untuk bersemuka dengan saya.

Saya berasa amat sedih dengan muslimah khususnya pada masa kini. Teringat
sewaktu saya masih menuntut di IPTA, setiap cuti semester, ramai pelajar akan
berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing. Di kala inilah, perhatian saya
sering tertumpu pada pasangan kekasih, di mana sebelum berpisah si wanita akan
mencium tangan si lelaki dan si lelaki akan menghadiakan pula ciuman di dahi
siwanita. Perbuatan tersebut ternyata salah, tetapi dibetulkan oleh mereka.
Tanpa segan silu akan berpelukan pula di khalayak ramai, sungguh memilukan. Semakin
runtuhnya akhlak muda-mudi Islam pada masa kini. Kerana kurangnya pengetahuan
tentang agama, kerana kurangnya pengetahuan tentang halal dan haram, maka
semakin runtuhlah akhlak muda-mudi Islam. Kadang kala saya berasa sedih dan
tidak terdaya untuk menegurkan tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku di
depan mata. Saya hanya mampu beristighfar dan membayangkan bagaimanakah akhlak
muda-mudi pada masa akan datang? Adakah semakin pulih? Atau ianya akan menjadi
semakin teruk? Sama-samalah kita renungkan dan banyakkanlah bermuhasabah diri.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...