Monday, September 20, 2010

Serius Dalam Bertaubat


Serius Dalam Bertaubat Dosa dan maksiat menjauhkan hamba dari Tuhannya. Ia mengundang kemurkaan dan laknat Tuhan. Ia menghijab dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Jalan untuk kembali kepada rahmat dan kasih sayang Tuhan ialah taubat. Bertaubat itu wajib hukumnya. Wajib pula kita bersegera dalam bertaubat. Sesiapa yang menangguh-nangguhkan taubat sentiasa berada dalam dosa dan kemurkaan Tuhan. Bagi orang Islam, taubat itu mudah. Cukup empat syarat maka sahlah taubat. Syarat-syaratnya ialah:

a. Menyesal

b. Berhenti dari membuat dosa atau maksiat

c. Berazam tidak mengulangi maksiat

d. Kalau dosa itu bersabit degan orang lain, kena minta maaf atau minta halal darinya.

Taubat sebenarnya adalah amalan hati. Ia amalah rohaniah. Bertaubat adalah perkara hati. Itu sebabnya, syarat pertama dalam taubat ialah menyesal. Tanpa penyesalan, taubat itu tidak dinamakan taubat. Penyesalan berpunca dari hati. Penyesalan adalah pokok taubat. Itu perkara pertama dan utama yang dilihat oleh Tuhan apabila seseorang hamba itu bertaubat. Taubat yang penuh dengan penyesalan sudah tentu akan menyebabkan perubahan. Ia tentu berkesan dalam mengubah sikap, perangai dan amalan lahir seseorang. Orang yang benar-benar bertaubat yang taubatnya penuh dengan penyesalan pasti akan dilihat berubah dan berbeza dari sebelum dia bertaubat.

Kalau perangai, sikap dan amalan lahirnya tidak berubah menjadi baik, nyatalah bahawa taubatnya belum benar-benar disertai dengan penyesalan. Oleh itu, empat syarat taubat sahaja tidak cukup. Atas dorongan perasaan sesal dihatinya, orang yang bertaubat itu perlu berusaha memperbaiki dirinya. Antara perkara-perkara yang patut diusahakan adalah seperti berikut:

• Menambah ilmunya terutama ilmu agama

• Menambah ibadahnya

•Menukar kawannya dan memilih kawan yang baik dan sehaluan

• Meninggalkan kemegahan dunianya.

• Berhenti daripada bangga dan sombong

• Mengubah akhlak menjadi baik

• Sentiasa berusaha berlaku benar

• Jangan redha dengan maksiat

Di samping itu, orang yang bertaubat dengan penuh penyesalan sudah tentu serius dalam bertaubat. Dia tentu bersungguh-sungguh mahukan supaya dosa-dosanya diampunkan Tuhan. Dia tidak akan rasa cukup hanya dengan empat syarat taubat seperti yang diterangkan sebelum ini dan usaha-usahanya untuk memperbaiki diri. Tidak ada jaminan apa-apa bahawa Tuhan akan menerima taubatnya hanya di atas dasar empat syarat tersebut. Memang Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Namun orang yang benar-benar menyesal dan serius dalam taubatnya tidak akan rasa cukup hanya dengan empat syarat itu. Dia akan tambah taubatnya dengan perkara-perkara dan amalan-amalan lain untuk menguatkan dan memastikan taubatnya benar-benar diterima Tuhan dan dosanya diampunkan. Diantaranya adalah:

Pertama, dia akan rela menerima segala ujian dan mehnah dari Tuhan. Dia akan berusaha untuk sabar dan redha dengan apa sahaja ujian yang Tuhan timpakan padanya. Dia akan menerima ujian Tuhan dengan hati yang bersedia, tenang dan terbuka. Walaupun ujian itu berat, pedih dan menyakitkan, dia tetap akan berbaik sangka dengan Tuhan dan tidak akan berputus asa dari rahmat Tuhan. Ini kerana ujian dan mehnah itu adalah penghapusan dosa. Walaupun dia sudah bertaubat, tidak ada jaminan segala dosa-dosanya itu akan terhapus hanya dengan taubatnya itu. Dia perlu juga membersihkan dirinya dari dosa melalui jalan-jalan lain termasuk melalui ujian-ujian yang Tuhan datangkan padanya. Hadis ada menyebut yang bermaksud:“Tidak terkena anak Adam itu walaupun satu tusukan duri melainkan diampunkan dosanya.”

Kedua, dia akan membuat amalan kebajikan sebanyak-banyaknya kerana ini akan melenyapkan dosanya. Ada hadis yang bermaksud:“Iringilah kejahatan kamu dengan sebanyak-banyak kebajikan, nescaya ia akan memadamkan kejahatan kamu.”

Amalan kebajikan di sini umum maksudnya. Ia termasuklah solat, puasa, wirid, zikir, baca Quran, berzakat, bersedekah, menolong fakir miskin dan orang susah dan sebagainya. Tetapi amalan kebajikan yang sangat dipandang tinggi oleh Tuhan ialah berjuang dan berjihad ke jalan Allah. Siapa yang berjuang dan berkorban untuk menegakkan agama Tuhan, sama ada pada dirinya, keluarganya dan masyarakat umum, maka Tuhan berjanji akan mengampunkan segala dosa-dosanya. Inilah sepatutnya menjadi pegangan orang yang serius dalam bertaubat. Dia patut menjual diri, harta, jiwa dan raganya ke jalan Tuhan. Taubat sahaja tidak cukup dan tidak memadai. Tuhan ada berfirman: Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, inginkah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaanyang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasul dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga.” (As-Saf: 10-12)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...