Sunday, March 20, 2011

Renungan : Rahsia dan Nikmat disebalik erti "SABAR"

MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak-selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:
* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang/teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.

Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.

Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan
rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat
ibadatnya.


"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala
mereka tanpa batas".
(QS. 39:10)


Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya):


"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap
siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung
(merebut syurga dan bebas dari neraka)".
(QS. 3:200).

Saiyidina Ali Abu Talib k.a.w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.

DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibah atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati
atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, atau jika hamba Allah
itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian,
kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu
berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala
yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarab. Yakinlah,
keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat
daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.

Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...