Wednesday, July 13, 2011

Mengemudi Sifat Marah


Bukanlah orang yang kuat itu dengan ukuran kuat dalam bergusti (bergelut), tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya tatkala ia sedang marah – Sabda Rasulullah s.aw.

(Al Hadis)

Marah adalah salah satu sifat semulajadi manusia. Maka, apabila dikatakan sifat semulajadi, ianya bermaksud, jika kita memiliki sifat marah. Kita adalah seorang manusia normal, manusia yang mempunyai perasaan dan memerlukan naluri – naluri kemanusiaan seperti gembira, sedih, marah, sabar dan sebagainya. Sebenarnya, apa yang kita miliki, segala – galanya merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia, dan setiap anugerah adalah satu amanah. Manakala, setiap amanah pula pasti akan dipertanggungjawabkan.

Persoalannya, apabila amarah itu datang, bagaimanakah kita mengemudinya agar kemarahan itu tidak membinasakan kita dan juga orang lain sebaliknya, memberi kebaikan kepada semua?
Bagaimana jika kita gagal di dalam menangani marah? Sudah pasti kita akan menjadi golongan melampaui batas. Namun begitu, Islam ternyata indah apabila menggariskan beberapa cara untuk mengemudinya.

Penawar Sifat Marah

1. Mengingati Allah SWT.

Allah SWT telah menjanjikan syurga seperti di dalam petikan Al Quran bagi sesiapa yang boleh menahan amarahnya.


Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

(Al Imran : 133 – 134)
Di dalam ayat yang seterusnya (surah Al Imran ayat 135), Allah SWT memberi petunjuk kepada kita melalui Al Quran cara untuk menghadapi sifat marah, Allah Taala berfirman :

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

( Al Imran : 135)

2. Memohon perlindungan kepada Allah SWT

Sesungguhnya marah adalah godaan daripada syaitan, maka ketika menghadapinya, kita hendaklah berdoa atau mengucapkan isti’azah (Dan aku berlindung kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatanagan mereka kepadaku – Al Mu’minun : 98. )


Sebagaimana di dalam firman Allah taala :

Dan jika kamu ditimpa suatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Al A’raf : 200)

3. Memaafkan kesalahan orang yang menjadi punca kemarahan

Memaafkan kesalahan orang lain adalah amat dituntut dan ianya menenangkan jiwa daripada perkara-perkara yang menyebabkan kemarahan. Bertoleransilah walaupun sebesar – besar kesalahan orang lain kepada kita kerana sebagai manusia biasa, pastilah mereka tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

(As Syura : 37)


Sebuah riwayat menceritakan, Uyainah Bin Hishn, ketika mencela Saidina Umur Al Khattab r.a dengan berkata :

“Celakalah engkau wahai Umar! Demi Allah engkau tidak pernah menafkahi kami dan tidak memerintah kami dengan adil.”

Mendengar itu, Saidina Umar r.a menjadi bingung. Lantas Al Hur Bin Qais mengingatkan baginda,

” Wahai Amirul mukminin sesungguhnya Allah telah berfirman ; Jadilah engkau pemaaf dan perintahlah orang-orang untuk mengerjakan kebaikan serta berpalinglah engkau daripada orang-orang yang jahil. (Al A’raf : 199)”

Tambah Al hur lagi,

” Demi Allah, Umar tidak akan melanggar batasan ayat ini. Umur adalah seorang yang patuh kepada perintah Allah.

4. Berwudhu’

Berwudhu’ lah untuk meredakan sifat marah, kerana ia dianjurkan oleh Rasulullah sepertimana diriwayatkan di dalam hadis.

Sesungguhnya marah itu datang daripada syaitan sedangkan syaitan itu berasal daripada api. Sesungguhnya api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamumerasa marah hendaklah ia berwudhuk.

(Riwayat Abu Daud)
5. Mengubah posisi

Jika kita marah di dalam keadaan diri, maka ubahlah posisi seperti duduk atau berbaring. Insya-Allah, akan redalah sedikit kemarahan itu.




Tips Menghindari Sifat Marah.

1.Sentiasa berzikir kepada Allah taala.
2.Membaca Al Quran, kerana Al Quran mampu melembutkan hati manusia.
3.Janganlah merokok atau minum minuman keras.
4.Jangan bertindak melulu, sebaliknya, sentiasa bersikap tenang walaupun dihimpit cercaan atau masalah
5.Jika melihat sesuatu kemungkaran (seperti golongan yang tidak menutup aurat), jangan mencela sebaliknya, mendoakan agar Allah taala membuka pintu hati mereka.
6.Bersedia memaafkan kesalahan orang lain.
7.Bersikap rendah diri & jauhi sifat ego dalam diri
8.Muhasabah dan berusaha memperbaiki sebarang kelemahan diri.
Wallahu’alam.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan kita.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...