Thursday, July 14, 2011

TAZKIRAH

Dunia adalah Pentas Ujian
Dunia adalah pentas ujian untuk kita semua. Sebagai tamsilnya, apabila kita sedang menghadapi ujian disekolah, setelah tamat waktu yang diperuntukkan, maka kertas ujian akan di ambil oleh pengawas peperiksaan. Demikian pula samalah dengan kita semasa di dunia ini. Kita diberikan berberapa tempoh tententu untuk bersedia menghadapi peperiksaan yang besar suatu ketika nanti yang bakal menentukan kedudukan dan tempat yang kekal abadi bagi kita semua.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk : 2)

Segala perbuatan kita, baik ucapan, pendengaran, fikiran, semuanya akan dicatatkan oleh Malaikat Raqib dan Atid yang berada dikanan dan kiri kita. Dan pada hari pengadilan nanti buku catatan tersebut akan diberikan kepada kita untuk dibaca sebagai perhitungan baik dan buruknya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“(Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan).”
(Al-Isra’ : 14)


Pada saat dan ketika ini, segala rasa kerugian dan penyesalkan tidak akan berguna lagi, kerana segala keperluan dan panduan untuk menghadapi kehidupan yang singkat di dunia ini telah berikan petunjuk dan panduan yang jelas dan nyata melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Pada saat ini semua tercatat dengan penuh ketertiban dan tiada sedikit pun kesilapan dan kecelaruan. Setiap apa yang dicatat diberikan nilai yang sepatutnya, tiada yang ditokok atau tiada yang dikuranginya walaupun sedikit. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.” (Al-Kahfi : 49)



Jawapan Bagi Mereka Yang Enggan

Akan datang pada hari pengadilan yang ketika itu Allah S.W.T memberikan pertanyaan kepada manusia tentang ibadahnya semasa didunia, mereka akan mengemukan pelbagai alasan seperti sakit, kemiskinan dan sebagainya. Maka Allah S.W.T menghadirkan hamba-hambanya yang soleh untuk menyanggah alasan-alasan tersebut. Orang kaya akan mengatakan bahawa mereka tidak dapat melaksanakan ibadah kerana sibuk mengurus harta kekayaannya, maka Allah S.W.T memanggil Nabi Sulaiman a.s dan berfirman “Hambaku ini lebih kaya daripada kamu, ia memiliki kerajaan dan kekayaan sangat luas namum semua itu tidak menghalanginya daripada beribadah kepadaKu. Kemudian, Allah S.W.T bertanya kepada orang-orang miskin, “Mengapa kamu tidak mahu beribadah kepadaKu?”, mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang miskin, oleh kerana itulah kami tidak dapat beribadat kepadaMu.” Kemudian Allah S.W.T memanggil Nabi Isa a.s, beliau adalah seorang nabi yang sangat miskin, beliau tidak memiliki harta apapun, bahkan rumah pun tidak ada, namum beliau tetap taat beribadah kepada Allah S.W.T. Begitu juga ketika orang sakit diberikan pertanyaan yang serupa, maka mereka menjawab, “ Kami sakit, oleh sebab itu kami tidak dapat mentaatiMu,”. Kemudian Allah memanggil Nabi Ayyub a.s iaitu seorang nabi yang sering ditimpa penyakit, namum hal itu tidak menghalanginya daripada beribadah kepada Allah S.W.T.

Para pembaca yang saya kasihi, nah lihat lah apa yang sebenarnya berlaku pada kita dewasa ini, pelbagai alasan yang boleh kita kemukan untuk menafikan hak dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah S.W.T, namun di hari akhirat nanti tiada lagi alasan yang mampu kita kemukakan lagi.

Sebagi usaha menyeluruh, kami menyeru kepada semua pembaca akan berterusan berusaha untuk mencari hidayah Allah S.W.T, pelbagai ujian akan kita hadapi namun yakinlah Akhirat adalah tujuan kita, Jalannya adalah melalui petunjuk Nabi Muhammad S.A.W, hamba kepada Allah S.W.T adalah pengisiannya, Istiqamah adalah buktinya. Bersama ini kami berusaha menghubungkan semua elemen ini dalam maklumat yang berikutnya sebagai panduan untuk semua. Usahakan supaya kesemua elemen ini wujud serentak pada satu-satu masa dalam diri kita, keluarga dan semua ummat agar agama mula subur kembali dalam kehidupan kita.





Kita Sering Bertanya dan Al-Quran Menjawabnya

Kita bertanya : Kenapa aku diuji?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al ‘Ankabut :2-3)

Kita bertanya : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah : 286)


Kita bertanya : Kenapa aku rasa begitu kecewa sangat?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Al-Imran : 139)


Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Al-Imran : 200)


Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya….sangat beratnya ujian ini…
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah : 45)


Kita bertanya : Apa yang aku dapat daripada semua ini?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya selain daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah : 111)


Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.” (At-Taubah : 129)


Kita berkata : Aku sudah tak tahan lagi!!!!
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :


“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf : 8)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...